Op Patuh: 7 kompaun bernilai RM90,000 dikeluarkan di PJ

Op Patuh: 7 kompaun bernilai RM90,000 dikeluarkan di PJ

faris.fuad@bh.com.my

PETALING JAYA: Sebanyak tujuh kompaun bernilai RM90,000 dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 21 premis menerusi Operasi Patuh Bersepadu di sini, hari ini, kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Operasi bermula jam 10 pagi diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama agensi lain seperti Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata hasil serbuan, polis mengeluarkan tiga kompaun terhadap dua majikan serta seorang pekerja di kilang makanan kerana tidak patuh SOP PKPD.

Katanya, tiga kompaun lagi dikeluarkan KKM terhadap majikan kerana tidak mengisytiharkan tahap kesihatan pekerja, manakala baki satu dikeluarkan MBPJ.

“Antara kesalahan dikenal pasti ialah tidak mengimbas kod aplikasi MySejahtera atau merekod kehadiran dalam buku, tidak mengimbas suhu di tempat kerja dan premis beroperasi bukan sektor dibenarkan.

“Selain itu, ada premis tidak mempunyai lesen perniagaan serta majikan tidak menjalankan saringan kesihatan terhadap pekerja,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, sebuah kilang makanan diarahkan tutup selepas pemeriksaan dilakukan mendapati premis itu berada dalam keadaan kotor hasil penemuan najis tikus.

Selain itu, katanya, sebuah pusat rawatan kecantikan turut ditutup selepas didapati tidak mempunyai kebenaran operasi daripada KKM.

“Kami akan melakukan siasatan bagi mengetahui berapa lama pusat rawatan kecantikan berkenaan beroperasi sepanjang tempoh PKPD.

“Pusat itu bukan perkhidmatan penting dan sekiranya premis itu mahu beroperasi, pemilik kena memohon kebenaran daripada KKM,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin berkata, pemilik premis serta majikan perlu memahami dan mematuhi SOP PKPD ditetapkan pihak berkuasa.

“Pelaksanaan PKPD di Petaling Jaya sudah hampir dua minggu, manakala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula sudah kita jalani lebih dua tahun.

“Justeru, pemilik premis serta majikan perlu memahami dan mematuhi SOP serta arahan berkaitan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top