COVID-19: Argentina lepasi angka kematian 100,000

COVID-19: Argentina lepasi angka kematian 100,000

BUENOS AIRES: Argentina semalam, menjadi negara Amerika Latin kelimam merekodkan kes kematian melepasi angka 100,000 akibat COVID-19, menurut data Kementerian Kesihatan.

Negara itu mencatatkan 614 kematian baharu dalam tempoh 24 jam terakhir menjadikan jumlah keseluruhan 100,250 membabitkan populasi 45 juta penduduk.

Ia kini mempunyai lebih 4.7 juta kes walaupun kadar jangkitan baharu semakin perlahan disebabkan kemajuan yang dicapai dalam program vaksinasi Argentina selama beberapa minggu terakhir.

Lebih 5,000 orang berada dalam rawatan intensif dengan gejala COVID-19, iaitu lebih daripada 62 peratus daripadanya ditempatkan di katil Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ketika kemuncak penularan virus itu pada April lalu, lebih 80 peratus katil ICU digunakan.

Lebih 20.6 juta orang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala 5.1 juta sudah divaksin sepenuhnya, menurut pihak berkuasa.

Ia bermakna, lebih daripada 60 peratus populasi dewasa dan 45 peratus daripada jumlah keseluruhannya mempunyai sekurang-kurangnya satu dos. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top