suzalina@bh.com.my
Kuala Lumpur: Program PRIHATIN Kasih yang dijalankan secara projek perintis sejak 1 Julai lalu di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) terus bergerak membantu golongan sasar membeli barangan asas mengikut keperluan mereka.
Sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi membantu kos sara hidup bagi golongan miskin bandar yang akan memanfaatkan 300,000 isi rumah di bandar utama seluruh negara.
Pengerusi Yayasan MyKasih, Tan Sri Dr Ngau Boon Keat, berkata peranan dimainkan yayasan itu dalam program PRIHATIN Kasih ialah dengan menawarkan sistem penggunaan tanpa tunai terus kepada MyKad bagi membolehkan mereka membeli barangan keperluan.
Beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan banyak syarikat korporat menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), selain agensi zakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan agihan kebajikan selamat dan telus.
“PRIHATIN Kasih ternyata membantu memenuhi keperluan dengan memastikan adanya makanan di atas meja bagi keluarga yang terkesan.
“Sejak kami terbabit dalam program ini, maklum balas diterima begitu positif di mana penerima suka kerana boleh memilih sendiri barangan keperluan daripada pelbagai kategori yang dibenarkan,” katanya kepada BH.
Presiden Persatuan Penduduk Flat Dadimur, Batu Caves, Sheila Tukiman menyambut baik pelaksanaan program PRIHATIN Kasih yang mensyaratkan pembelian barangan keperluan asas tanpa tunai bagi mengelak salah guna pembelian tidak perlu.
Beliau berkata, menerusi inisiatif ini kerajaan tidak hanya memfokuskan pada pangkalan data sebelum ini untuk mengesan penerima bantuan PRIHATIN Kasih, sebaliknya berusaha mengesan sendiri golongan yang menjadi miskin bandar khususnya akibat pandemik COVID-19.
“Disebabkan oleh pandemik COVID-19, begitu ramai yang terkesan, khususnya ibu tunggal, warga emas dan OKU. Bantuan ini amat bermakna buat mereka dengan cara mudah tanpa perlu membawa tunai.
“Usaha kerajaan ini baik kerana pada masa memberi kelebihan buat penerima membeli barangan keperluan asas yang mereka guna, selain mensyaratkan hanya barangan asasi atau barangan basah bagi mengelakkan salah guna,” katanya.
Beliau berkata, kaedah hanya menggunakan MyKad diamal melalui PRIHATIN Kasih juga memudahkan penerima tanpa perlu membawa wang tunai.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, berkata selain pemberian bakul makanan oleh kerajaan, PRI- HATIN Kasih membantu penerima membeli barang keperluan lain yang mungkin tidak dimasukkan dalam bakul makanan.
“Bantuan itu dapat membantu menangani isu miskin bandar termasuk golongan sasar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur dengan mereka diberi pilihan untuk membeli barangan di 300 rangkaian pasar raya dan kedai seluruh negara,” katanya ditemui selepas menyantuni penerima bantuan PRIHATIN Kasih bersama Yayasan MyKasih di sini, semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




