Risiko kredit peminjam hadkan kelulusan pinjaman rumah

Risiko kredit peminjam hadkan kelulusan pinjaman rumah

mahanum_aziz@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Risiko kredit peminjam dijangka mengehadkan kelulusan baharu bagi pinjaman rumah meskipun jumlah permohonan pinjaman hartanah kediaman mencatatkan paras tertinggi pada April lalu, demikian menurut penganalisis.

AmInvestment Bank Bhd dalam notanya berkata, permohonan pinjaman bagi hartanah kediaman mencatatkan rekod tertinggi pada April 2021, yang mencerminkan peningkatan sentimen pengguna dalam sektor hartanah.

Namun begitu, ia berkata, purata kadar kelulusan pinjaman merosot kepada 34.2 peratus berbanding 37.4 peratus pada tahun lalu.

Ia percaya situasi itu berlaku berikutan pembeli tidak berupaya menepati kelayakan untuk pinjaman rumah susulan nisbah khidmat hutang (DSR) yang tinggi.

“DSR dikira dengan membahagikan tanggungjawab khidmat hutang pemohon berdasarkan pendapatan mereka untuk menilai profil risiko peminjam, yang mana kebanyakan bank melihat had 43 peratus bagi kumpulan berpendapatan rendah dan 71 peratus untuk peminjam berpendapatan sederhana tinggi.

“Kelulusan pinjaman baharu berada pada paras 43 peratus sementara nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 93.3 peratus setakat Disember 2020 berbanding 82.9 peratus setakat Disember 2019,” katanya.

AmInvestment Bank berkata, pembeli rumah berpotensi mungkin mempunyai ruang yang kecil untuk membuat pinjaman gadai janji kerana komitmen perkhidmatan hutang mereka yang ada seperti pinjaman pendidikan, kereta atau peribadi sambil pada masa sama pendapatan tidak berkembang dengan cukup ketika pandemik.

Ia berkata, keadaan itu diburukkan lagi oleh pasaran pekerjaan yang lembap seperti ditunjukkan oleh peningkatan kadar pengangguran 4.7 peratus dalam tempoh Januari-Mei 2021 berbanding 4.1 peratus tahun lalu.

AmInvestment Bank berkata, ia kekal dengan pendirian ‘Neutral’ terhadap tinjauan sektor hartanah bagi separuh kedua tahun ini.

Ia berkata, sektor hartanah tempatan mencatatkan kemerosotan selama lima hingga enam tahun lalu sejak meningkat pada pertengahan 2013 ketika Indeks Harga Rumah (HPI) menunjukkan pertumbuhan dua angka.

Namun, ia melihat tanda memberangsangkan tahun ini seperti kadar pertumbuhan jualan pemaju pada suku pertama 2021 sekitar lima ke 10 peratus menerusi platform tempahan dalam talian di tengah-tengah pandemik.

Selain itu, kesediaan pemaju untuk mengorbankan margin dengan memberi tumpuan kepada segmen kediaman mampu milik sejajar dengan permintaan pasaran; dan aktiviti simpanan tanah di kawasan utama dengan infrastruktur awam yang baik serta sambungan ke pusat bandar Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, AmInvestment Bank berhati-hati dengan tinjauan hartanah bagi separuh kedua berikutan pelbagai langkah sekatan pergerakan dan ekonomi, yang akan menyebabkan pemulihan dalam sektor itu lebih perlahan daripada jangkaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top