HANOI: Kementerian Kesihatan Vietnam kelmarin meluluskan vaksin COVID-19 keluaran Johnson & Johnson untuk kegunaan kecemasan, lapor agensi berita Vietnam (NNA).
Dibangunkan Janssen, vaksin Johnson & Johnson adalah yang keenam disahkan di Vietnam setakat ini selepas Pfizer, Astra Zeneca, Sputnik V, Vero Cell dan Moderna.
Pihak kementerian meminta Pentadbiran Ubatan Vietnam (DAV) melesenkan pengimportan vaksin dan mematuhi peraturan mengenai pengelolaan import dan kualiti vaksin yang diimport.
Jabatan Perubatan Pencegahan bertanggungjawab untuk melakukan vaksinasi menggunakan Janssen.
Kementerian itu juga menugaskan Institut Pengawalan Vaksin dan Biologi Nasional untuk menjalankan pemeriksaan dan memberi sijil untuk kumpulan vaksin Janssen sebeum digunakan.
Kementerian memaklumkan, persetujuan itu berdasarkan dokumen mengenai keselamatan, kualiti dan keberkesanan vaksin seperti yang diberikan oleh Johnson & Johnson (Vietnam) pada 3 Julai lalu serta komitmen firma itu mengenai ketetapan dokumen terbabit. – BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




