bhnews@bh.com.my
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan aktiviti rumah terbuka, jamuan, kunjung-mengunjung dan ziarah tanah perkuburan tidak dibenarkan sempena sambutan Aidiladha bagi membendung peningkatan kes COVID-19.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata bilangan jemaah masjid dan surau bagi solat sunat Aidiladha dikurangkan kepada satu pertiga ruang solat atau maksimum 30 jemaah atau yang mana lebih rendah.
“Bilangan pengendali sembelihan korban adalah dikurangkan kepada 15 orang sahaja dan semua aktiviti perayaan Aidiladha di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKDP) adalah tidak dibenarkan,” katanya.
Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah
peningkatan kes harian COVID-19 di negeri itu hari ini sebanyak 647 berbanding 326 kes semalam adalah disebabkan saringan besar-besaran yang sedang dilaksanakan sekarang ini oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bagi membendung penularan di komuniti.
Beliau berkata, saringan kluster sedia ada itu merekodkan 287 jangkitan iaitu 44.4 peratus daripada kes yang dicatatkan hari ini manakala saringan kontak rapat mengesan 220 kes baharu atau 34 peratus.
Katanya, saringan bersasar pula merekodkan 63 kes atau 9.7 peratus, saringan bergejala 47 kes atau 7.3 peratus dan selebihnya saringan kategori lain.
“Daerah Kota Kinabalu merekodkan kes tertinggi dengan jumlah kes baharu sebanyak 312 kes pada hari ini dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 204 kes dikesan dari Kluster Tembok Kota Kinabalu di Penjara Kepayan,” katanya.
Masidi juga berkata, satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Jambatan Liawan di Keningau yang setakat ini mencatat 45 kes kumulatif merebak melalui jangkitan dalam komuniti.
“Penularan jangkitan kluster ini juga disyaki berpunca daripada pergaulan golongan remaja di kampung dan kemudian merebak kepada ahli keluarga membabitkan jangkitan dalam komuniti di Mukim Tuarid Taud dan Lingkudau di daerah Keningau,” katanya.
Beliau berkata, kes indeks kluster itu merupakan seorang lelaki berusia 26 tahun yang dikesan positif COVID-19 dalam saringan bergejala pada 14 Julai lepas di sebuah klinik swasta di Keningau dan seramai 256 kontak telah disaring dalam kluster tersebut.
Masidi juga berkata, 199 pesakit COVID-19 sembuh hari ini menjadikan jumlah kumulatif sembuh seramai 70,957 orang manakala 2,776 pesakit sedang menerima rawatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




