PRAGUE: Seorang staf pasukan Olimpik Czech yang tidak didedahkan namanya, diuji positif COVID-19 sejurus selepas mendarat di Tokyo, umum Jawatankuasa Olimpik Czech dalam satu kenyataan, semalam.
“Malangnya, dengan pelbagai langkah yang diambil, kita tak mampu mengatasi situasi ini,” kata Ketua Pasukan Olimpik Czech, Martin Doktor.
Bekas juara dua kali Olimpik dalam acara pecut kanu di Atlanta 1996 itu berkata, semua ahli pasukan lain diuji negatif manakala atlet berada dalam keadaan baik di Perkampungan Sukan Olimpik.
Staf berkenaan mengambil ujian antigen yang didapati positif di lapangan terbang dan jangkitan itu disahkan menerusi satu analisis PCR selepas itu.
Lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang gejala wabak berkenaan ketika dikuarantin, sama seperti beberapa ahli pasukan lain yang dikenalpasti menjadi kontak rapat dalam kapal terbang.
Sebelum ini, penganjur berkata, mereka mengenalpasti kes pertama COVID-19 di Perkampungan Olimpik, hanya enam hari sebelum temasya membuka tirainya.
– AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




