bhnews@bh.com.my
BUKIT MERTAJAM: Polis menahan 49 lelaki yang dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan menunaikan solat sunat Aidiladha berhampiran jalan raya di luar perkarangan Surau Taman Pelangi, Juru, di sini, pagi tadi.
Penahanan mereka iaitu 48 warga Bangladesh dan seorang warga tempatan itu dibuat di kawasan perumahan berkenaan sejurus polis menerima laporan berhubung insiden itu.
Perkara berkenaan disahkan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Difahamkan, semua mereka sekarang berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 22 saat memaparkan ratusan warga asing yang menunaikan Solat Sunat Aidiladha di jalan raya di luar perkarangan surau berkenaan yang dirakamkan orang awam yang melalui kawasan terbabit.
Dalam video berkenaan mendapati, semua warga asing terbabit solat dalam keadaan ‘jarak-jarak’ namun ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan negara kini masih dalam kawalan pergerakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Sementara itu, Mohd Shuhaily dalam sidang media petang tadi memaklumkan bahawa polis sedang mengesan kira-kira 200 warga asing yang dipercayai melanggar SOP dengan menunaikan solat berhampiran jalan raya di luar perkarangan surau terbabit.
Beliau berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati perkara itu berlaku secara spontan selepas kesemua mereka tidak dibenarkan solat di dalam surau memandangkan jumlah jemaah dihadkan hanya kepada 100 orang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 10, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
© New Straits Times Press (M) Bhd




