Hari Raya Aidiladha tahun ini dilihat sedikit suram walaupun tetap meriah disambut sesama ahli keluarga di kediaman masing-masing.
Pandemik yang menular telah menghadkan aktiviti yang biasa dilakukan ketika hari raya haji seperti menumbangkan haiwan ternakan untuk tujuan ibadah qurban.
Walau bagaimanapun, solat sunat Aidiladha tetap dilakukan dengan jumlah yang terhad. Pihak televisyen juga turut sama menayangkan siaran langsung solat sunat dan juga khutbah Aidiladha untuk ditonton orang ramai.
Menerusi perkongsian yang dibuat akaun Twitter @waniardy, pengguna media sosial tersebut telah menzahirkan rasa sebak apabila Imam Masjid Negara membacakan khutbah menyentuh perihal pemimpin.
Bila Imam Masjid Negara pun dah sebak tahan nangis waktu beri khutbah… 🥺😭
“Hentikanlah perbalahan. Bersimpatilah pada rakyat. Janganlah kerana tamak, rakyat jadi mangsa. Bagaimana Allah SWT mahu perkenankan doa kita & turunkan rahmatNya selagi kita bergelumang dengan dosa??” pic.twitter.com/93qsvEkLu8
— واني اردي 🏴 (@waniardy) July 20, 2021
Antara isi kandungan khutbah solat sunat Aidiladha itu adalah menyatakan supaya para pemimpin berhentilah berbalah dan bersimpatilah terhadap rakyat.
Sehubungan dengan perkongsian yang dibuat pengguna Twitter tersebut, rata-rata warganet telah meninggalkan komen yang pelbagai.
Mereka juga berharap semua pihak dapat mendengar apa yang telah disampaikan oleh Imam Besar Masjid Negara itu supaya menjadi pedoman dan ikhtibar dalam memimpi sesuatu organisasi.




Menerusi laporan daripada Bernama, Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni telah menyampaikan khutbah Aidiladha yang bertajuk ‘Cabaran dan Pengorbanan’ turut berkata bahawa Allah S.W.T telah menganugerahkan pelbagai kenikmatan kepada negara termasuk menyambut Aidiladha pada hari ini walaupun pandemik masih belum reda.
Jadi, beliau mengingatkan para pemimpin supaya menumpukan sepenuh usaha dan tindakan dalam mengekang penularan wabak Covid-19.
Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Al Bakri dilihat antara yang sama-sama hadir bagi menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid berkenaan.





