Berpuluh aktivis pelajar Thailand didakwa menghina Raja

Berpuluh aktivis pelajar Thailand didakwa menghina Raja

BANGKOK: Berpuluh aktivis mahasiswa prodemokrasi didakwa melakukan hasutan dan fitnah terhadap Raja berikutan pembabitan dalam demonstrasi menuntut pembaharuan sistem monarki di Thailand.

Perkara itu disahkan peguam mereka, yang mana gerakan prodemokrasi, yang dipimpin aktivis mahasiswa, dimulakan tahun lalu berikutan ketidakpuasan masyarakat terhadap pemerintahan Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha.

Satu daripada tuntutan utama dalam demonstrasi itu adalah reformasi monarki, yang menjadi pantang larang ke atas masyarakat untuk dibincangkan secara terbuka.

Demonstrasi itu berjaya menarik puluhan ribu peserta yang mana pada Oktober tahun lalu, ribuan orang berarak ke kedutaan Jerman dalam protes terhadap Raja Thailand yang dikatakan menghabiskan masa di negara itu.

Kumpulan Peguam Hak Asasi Manusia Thailand yang mewakili pelajar itu, berkata; “Semua 12 telah didakwa dengan 112 tuduhan (lese majeste – menghina raja) dan 116 didakwa (hasutan), dan tertuduh termuda berusia 20 tahun.

“Kebanyakan tuduhan dikaitkan dengan demonstrasi dan syarahan yang disampaikan di hadapan kedutaan Jerman,” kata kumpulan peguam itu.

Bagaimanapun, semua tertuduh dijamin peguam mereka.

Penunjuk perasaan menggesa membatalkan undang-undang lese majeste Thailand – yang mana mereka yang disabit kesalahan mengikut undang-undang itu boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun.

Pembangkang sejak dulu lagi menyatakan undang-undang berkenaan digunakan secara meluas oleh kerajaan dengan menyasarkan lawan politik mereka.

Sejumlah besar penunjuk perasaan yang sudah dihadapkan ke mahkamah didakwa menggunakan undang-undang itu.

Selain penghapusan undang-undang itu, penunjuk perasaan juga menuntut peletakan jawatan Prayut, bekas ketua tentera yang mendalangi rampasan kuasa 2014.

Turut dituntut penunjuk perasaan ialah pindaan perlembagaan membabitkan kuasa tentera.

Terkini, dengan peningkatan kes jangkitan dan kematian akibat COVID-19, penunjuk perasaan menuntut peletakan jawatan Prayut kerana mendakwa Perdana Menteri itu gagal menangani jangkitan pandemik itu.

Minggu ini, tanda pagar ‘Prayut Get Out’ menjadi antara yang popular ketika kerajaan Thailand melaksanakan perintah berkurung untuk beberapa lagi wilayah di negara itu berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19.

Pada masa ini, Thailand mencatatkan 453,000 kes COVID-19 dengan 3,697 kematian – sebahagian besar jumlah korban dikesan sejak April berikutan penularan wabak di kelab malam yang sering dikunjungi oleh golongan elit politik Bangkok. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top