GUWAHATI: Assam mendakwa pihak berkuasa negeri berjiran, Mizoram, membunuh enam anggota polisnya dalam pertempuran akibat pertikaian sempadan negeri di India.
Pemimpin kedua-dua negeri itu, yang sudah berdekad berbalah mengenai sempadan negeri, kini saling menuduh mengenai siapa yang bertanggungjawab terhadap keganasan terbaru itu.
Ketegangan semakin memuncak antara kedua-dua negara sejak bulan lalu apabila pegawai di Mizoram mendakwa polis Assam mengambil alih sebuah pos kawalan sempadan, yang menyaksikan pertempuran maut semalam di bandar Vairengte.
Ketua Menteri Assam, Himanta Biswa Sarma, menerusi ciapan di Twitter, mendakwa enam anggota polis Assam mengorbankan nyawa mereka mempertahankan sempadan negeri.
Rakan sejawatnya di Mizoram, Zoramthanga, tidak mengesahkan kematian itu tetapi dalam satu kenyataan, mendakwa tembakan dilepaskan selepas sepasukan 200 anggota polis Assam secara paksa melintasi sebuah pos kawalan.
Beliau turut mendakwa polis Assam merosakkan kenderaan dan menyerang orang awam termasuk sepasang pelancong selain melepaskan tembakan ke arah polis Mizoram, memaksa mereka membalas tembakan.
Menteri Dalam negeri India, Amit Shah, berusaha meredakan ketegangan itu dengan menemui dua ketua menteri berkenaan semalam bagi mengakhiri keganasan.
Mizoram adalah sebahagian daripada Assam hingga 1972 apabila ia berpisah dan menjadi negeri berasingan mulai 1986. – Foto AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




