OLIMPIK: Liu Ying belum mahu bersara

OLIMPIK: Liu Ying belum mahu bersara

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying menyatakan belum tiba masanya untuk dia mengundurkan diri daripada sukan badminton selepas tersingkir di peringkat kumpulan pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Dalam hantaran menerusi akaun Instagram miliknya, Liu Ying seolah-olah memberi gambaran mengenai persaraannya selain menyatakan dia sudah meraih beberapa kenangan manis termasuk pingat perak di Rio 2016 dan pembawa Jalur Gemilang di Tokyo 2020.

Begitupun, dia yang bergandingan dengan Chan Peng Soon menjelaskan sebaliknya, menyatakan kenyataannya itu adalah sebagai penampilan terakhir di Olimpik.

“Bukan ingin bersara tetapi ia adalah Olimpik terakhir saya,” kata Liu Ying yang tewas kepada gandingan China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping 13-21, 19-21 pada perlawanan terakhir Kumpulan D, semalam.

Sebelum itu, mereka kalah kepada gandingan Jerman, Mark Lamfuss-Isabel Herttrich 12-21, 15-21 dan membuka saingan peringkat kumpulan dengan langkah kiri apabila tewas kepada pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, 18-21, 21-10, 16-21.

Dalam hantarannya itu juga, Liu Ying berkata: “Terima kasih kepada sesetengah pihak yang memahami saya, berada di sisi ketika saya memerlukan (sokongan), ia lebih berharga daripada jambangan bunga.

“Terima kasih atas semangat positif yang diberikan. Tidak ada apa lagi yang perlu diperkatakan selain bangkit semula, dan hanya berharap apabila kamu berbicara mengenai beregu campuran Malaysia, kamu akan masih mengingati Goh Liu Ying.

“Pingat perak Olimpik Rio, pembawa Jalur Gemilang di Tokyo Olimpik, sudah cukup untuk membanggakan diri saya dan berada di tiga Olimpik, sudah memadai untuk saya berasa bangga dalam kehidupan saya.

“Ia sentiasa menjadi satu penghormatan buat saya untuk membawa bendera Malaysia di baju dalam pertandingan.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top