Khairy jamin ketelusan perbelanjaan vaksin

Khairy jamin ketelusan perbelanjaan vaksin

KUALA LUMPUR: Perbelanjaan dan perjanjian yang dilaksanakan dalam perolehan vaksin dan pelaksanaan pelalian akan terus dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata perkara ini untuk menjamin ketelusan dan keterbukaan program berkenaan kerana pelaksanaan vaksinasi membabitkan peruntukan perbelanjaan yang besar kepada negara.

“Sudah pastinya, jumlah peruntukan sebanyak RM5.8 bilion ini menimbulkan persoalan tentang bagaimana wang ini telah dan akan dibelanjakan,” katanya dalam sesi penerangan mengenai program vaksinasi negara di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, PAC mengadakan prosiding sebanyak dua kali, iaitu pada 5 Januari lalu dan sekali lagi pada Isnin.

“Dalam prosiding PAC ini, dokumen perjanjian perolehan vaksin serta butiran perbelanjaan bagi PICK telahpun dibentangkan.

“Selain daripada PAC, pada Jumaat lepas juga, MOSTI yang diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian telah memberikan keterangan di dalam prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi,” katanya.

Khairy berkata, bagi memastikan ketelusan dan keterbukaan program pelalian, satu taklimat kepada semua ahli Parlimen juga diadakan pada 22 Mac lalu di Putrajaya. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top