KLANG: Tiga pekerja Bangladesh cedera termasuk seorang daripadanya tidak sedarkan diri selepas tertimbus dalam runtuhan besi di laluan Aliran Transit Ringan (LRT) 3 dalam pembinaan di Bukit Tinggi di sini hari ini.
Perkara itu disahkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Balai Pelabuhan Klang yang menerima panggilan pada pukul 2.40 petang.
Penolong Pengarah Operasi Negeri JBPM, Hafisham Mohd. Noor berkata, pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian 20 minit kemudian dan berjaya mengeluarkan dua mangsa pertama.
“Bagaimanapun, mangsa ketiga hanya dapat dikeluarkan pada pukul 4.20 petang tadi dan didapati tidak sedarkan diri. Mangsa berkenaan kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan =,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menambah, tiada kemalangan melibatkan orang awam, bagaimanapun punca kejadian belum diketahui dan siasatan sedang dijalankan.
Terdahulu, JPBM memaklumkan perencah besi yang menjadi struktur binaan laluan LRT3 berhampiran Premiere Hotel itu runtuh. – UTUSAN




