Varian Delta merebak di tiga wilayah China

Varian Delta merebak di tiga wilayah China

BEIJING: China hari ini melaporkan penularan wabak COVID-19 membabitkan varian Delta di tiga wilayah berpunca daripada kluster di lapangan terbang, walaupun sudah melaksanakan ujian calitan besar-besaran dan program imunisasi.

Ia bermula selepas sembilan pekerja di lapangan terbang Nanjing disahkan positif pada 20 Julai lalu, dan sejak itu menyaksikan 171 kes dikesan di wilayah Jiangsu, sementara jangkitan turut merebak ke sekurang-kurangnya empat wilayah lain.

Secara geografi, ia adalah penularan terbesar selama beberapa bulan, yang menggugat usaha agresif China yang bergantung kepada ujian calitan besar-besaran, penutupan dan pengesanan kontak rapat.

Anggota pasukan petugas pencegahan wabak, Lu Jing memberitahu pemberita hari ini, pegawai di Jiangsu melaksanakan langkah penutupan terhadap ratusan ribu penduduk.

“Kafe internet, gimnasium, pawagam, bar, karaoke dan perpustakaan di Nanjing sudah ditutup,” katanya.

Beliau berkata, bandar itu sudah menjalankan ujian kepada semua 9.2 juta penduduk sebanyak dua kali ketika pegawai bergelut untuk mengekang penularan wabak.

Katanya, varian Delta yang sangat menular menimbulkan cabaran bagi usaha mengekang penularan.

Wilayah barat daya Sichuan melaporkan tiga kes baharu hari ini, sementara Beijing melaporkan satu kes penularan tempatan, yang pertama dalam tempoh enam bulan.

Sementara itu, sebuah hotel mewah di pusat bandar Beijing ditutup selepas media melaporkan kes import dikesan dalam kalangan tetamu.

Sebilangan besar daripada pesakit yang didapati positif dalam wabak terbaru ini sudah divaksinasi, sekaligus menimbulkan kebimbangan mengenai keberkesanan vaksin terhadap varian baharu.

China mahu segera memberikan suntikan vaksin kepada sekurang-kurangnya 65 peratus daripada 1.5 bilion penduduknya pada akhir tahun ini.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Nasional, negara itu sudah memberikan kira-kira 1.5 bilion dos suntikan vaksin setakat semalam, tanpa memberikan perincian mengenai jumlah orang yang diberi vaksin sepenuhnya. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top