KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) mempertimbang keperluan untuk mengkhususkan beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) kepada warga asing, mengikut bahasa, agar proses vaksinasi dapat dilakukan dengan lancar.
CITF dalam kenyataan memaklumkan ini bagi membolehkan sumber diperlukan seperti penterjemah atau sukarelawan, dapat ditempatkan di situ, sekali gus mengatasi masalah kesesakan di PPV yang berpunca daripada kehadiran dalam bilangan yang ramai kumpulan itu, menyebabkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
“Kegagalan pekerja asing dalam mengisi borang dan memuat turun aplikasi MySejahtera menyebabkan proses suntikan mengambil masa yang lama.
“Setiap pekerja asing memerlukan lebih lima minit untuk mengisi borang dan menyebabkan kesesakan di kaunter pendaftaran. Terdapat jurubahasa yang membantu, tetapi proses itu masih memakan masa,” menurut kenyataan itu sebagai mengulas kesesakan yang berlaku di kebanyakan PPV di Lembah Klang semalam.
Kenyataan itu memaklumkan, kesesakan semalam juga terjadi apabila sebilangan besar daripada penerima vaksin hadir tidak mengikut waktu janji temu yang diberikan dengan datang pada waktu pagi, sedangkan waktu janji temu adalah di sebelah petang.
Bagi mengelakkan masalah sama berulang, badan bertindak itu turut bekerjasama dengan polis untuk menyekat perjalanan kenderaan seperti bas dari luar Lembah Klang yang membawa sama ada pekerja asing atau rakyat Malaysia, secara beramai-ramai untuk mendapatkan suntikan vaksin di Lembah Klang.
Pada masa sama CITF juga sudah meminda tarikh janji temu bagi sesetengah penerima vaksin untuk mengurangkan jumlah kehadiran, agar kesesakan daripada masalah komunikasi membabitkan warga asing itu dapat dielakkan.
“Hasil daripada tindakan CITF ini, kesesakan di PPV terutamanya di waktu petang, dapat dikurangkan hari ini (semalam) dan perkara berkenaan akan terus dipantau bagi membolehkan tindakan bersesuaian diambil dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
– BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




