HONG KONG: Penjawat awam Hong Kong, guru dan pekerja kesihatan perlu divaksin atau terpaksa membayar ujian saringan, kata pemimpin bandar itu selepas pentadbirannya mahu mewajibkan program inokulasi.
Hab kewangan itu adalah antara lokasi di dunia yang memperoleh banyak bekalan vaksin COVID-19, namun sambutan orang ramai terhadap vaksinasi masih kurang.
Selepas enam bulan ini, hanya 36 peratus dari 7.5 juta penduduk divaksin sepenuhnya dengan dua dos, manakala 48 peratus lagi menerima satu dos.
Meskipun kadar jangkitan di Hong Kong masih rendah, tetapi ia tetap ditutup kepada bukan penduduk sejak 18 bulan lalu, malah mereka yang datang ke pulau itu perlu menjalani kuarantin di hotel yang disediakan.
Ketua eksekutif Hong Kong, Carrie Lam, hari ini mengumumkan satu tindakan baharu untuk meningkatkan vaksinasi dengan mewajibkan kepada mereka yang berkhidmat untuk empat sektor iaitu, penjawat awam, pekerja kesihatan, kakitangan rumah penjagaan dan guru sekolah.
Dalam sektor itu, kadar vaksinasi kesemua sektor berkenaan juga berbeza-beza setakat ini, iaitu 70 peratus dalam kalangan penjawat awam dan 47 peratus dalam kalangan guru.
“Masih banyak perkara perlu dipertingkatkan,” kata Lam.
Mereka yang enggan divaksinasi perlu menjalani ujian saringan dua kali seminggu dan kos itu ditanggung sendiri, kecuali mereka mempunyai alasan yang tidak boleh dielakkan.
“Jika ada orang yang enggan divaksin tanpa sebarang alasan kesihatan, saya rasa sebuah kerajaan yang bertanggungjawab tidak perlu bertolenrasi,” kata Lam.
Langkah pencegahan COVID-19 dilakukan menurunkan jangkitan dengan sekitar 12,000 kes dan 200 kematian, malah dalam tempoh 50 hari, tiada jangkitan tempatan berlaku.
Namun, strategi itu ternyata membebankan ekonomi Hong Kong, yang pernah menjadi pusat pengangkutan antarabangsa utama dunia dan ia juga memberi kesan kepada penduduk.
Ketidakpercayaan kepada pemerintah ekoran tindakan keras terhadap mereka yang mempunyai perbezaan pendapat dilihat menjejaskan program vaksinasi di bandar itu.
Vaksin secara mandatori kepada guru juga hadir dua hari selepas pemerintah memutuskan hubungan dengan kesatuan pengajar terbesar di bandar itu disebabkan anggotanya menyokong pergerakan demonstrasi.
Pekerja kesihatan juga dilihat memainkan peranan penting dalam protes demokrasi pada 2019. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd



