syafiq.aznan@bh.com.my
PETALING JAYA: Ifedayo Olusegun terus ‘mengganas’ apabila meledak gol ke-17 musim ini untuk membantu Selangor FC (SFC) menewaskan UiTM FC 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Masih segar dengan kemenangan 4-1 ke atas Penang FC (PFC), momentum itu diteruskan anak buah Karsten Neitzel pada minggu ini sekali gus membolehkan mereka meraih dua kemenangan berturut-turut selepas kemarau kemenangan dalam empat perlawanan.
Namun nasib berbeza buat UiTM FC apabila mereka terus dirundung malang selepas tewas buat kali ke-14 pada musim ini dan belum lagi merasai sebarang kemenangan dalam 16 perlawanan diharungi.
Sekalipun berdepan pasukan tercorot, SFC terpaksa menunggu sehingga minit ke-26 untuk menghasilkan gol pembukaan yang dijaringkan menerusi pertahanannya, Shahrul Nazeem Zulpakar.
Bersambung babak kedua, UiTM FC beroleh peluang keemasan untuk mengikat kedudukan pada minit ke-50 namun percubaan Sean Giannelli diselamatkan Khairul Azhan Khalid.
Tersentak dengan gerakan UiTM FC, SFC melakukan tiga percubaan menerusi Ifedayo namun gagal membuahkan hasil sebelum satu lagi percubaannya pada minit ke-57 menewaskan Zamir Selamat untuk gol kedua tuan rumah.
© New Straits Times Press (M) Bhd