Aktiviti kampus tangani isu mental mahasiswa

Aktiviti kampus tangani isu mental mahasiswa

JUMLAH kes masalah mental semakin membimbangkan dengan 124,122 panggilan diterima agensi kerajaan sejak 25 Mac tahun lalu hingga 20 Mei lalu. Meskipun terdapat pelbagai talian disediakan kerajaan, kes bunuh diri dan masalah mental semakin meningkat.

Persoalannya, berapakah panggilan dibuat mahasiswa daripada jumlah itu? Berapa pula yang mengalami tekanan mental dan kemurungan?

Sebahagian bidang pengajian, perlu dilakukan secara bersemuka seperti perubatan, pergigian dan kejururawatan. Adakala keputusan diambil kerajaan dan universiti bertujuan memastikan keselamatan fizikal mahasiswa tetapi ia turut memberikan kesan kepada kesihatan mental pelajar yang diakui berada dalam radar kegusaran universiti.

Hakikatnya, pelajar universiti memerlukan rehat cukup, makanan seimbang dan interaksi dengan rakan. Namun, prosedur operasi standard (SOP) ketat yang mempunyai maksud baik, boleh menjadi punca masalah mental mahasiswa.

Contohnya, mahasiswa perlu tinggal di kolej kediaman dan tidak dibenarkan keluar dari kampus bagi mengelakkan kontak positif. Keputusan ini mengambil kira keselamatan mahasiswa yang sepenuhnya menjadi tanggungjawab universiti.

Justeru, mereka bertugas sebagai timbalan dekan hal ehwal pelajar dan paling hampir dengan mahasiswa di fakulti, perlu mencari penyelesaian proaktif untuk mengatasi masalah mental ini, sekali gus tidak mengganggu akademik.

Oleh itu, Kulliyyah Pergigian, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melaksanakan pelbagai inisiatif seperti program kerohanian bersifat santai dan interaktif seperti majlis doa selamat dan kuliah dhuha.

Ia membolehkan mahasiswa mendapat sokongan moral bersifat kerohanian di samping menggalakkan perbicangan bersifat santai bersama pensyarah, selain merancang untuk menganjurkan pertandingan seloka, cerpen serta penulisan kreatif supaya mahasiswa dapat mengisi masa dengan aktiviti sihat.

Dengan sokongan universiti, program seperti senaman secara maya dalam bilik dirancang bagi membolehkan pelajar terus beriadah yang turut menyediakan pingat dan sijil kepada mereka mencapai sasaran.

Bagi pelajar berkemahiran dalam perniagaan, program keusahawanan dalam talian memberikan peluang berinteraksi lebih sihat di samping menambah pendapatan.

Geran kecil memulakan perniagaan disediakan untuk menggalakkan mahasiswa berkecimpung dalam keusahawanan meskipun akan bergraduasi sebagai doktor pergigian umpamanya.

Ditambah tawaran kerja semakin terhad, program ini bertindak serampang dua mata dengan mendedahkan teknik perniagaan boleh diguna pakai sekiranya mahu membuka klinik pergigian sendiri.

Pertandingan fotografi juga boleh diadakan kepada mahasiswa berminat dalam seni visual. Bagi yang berkemahiran dalam proses suntingan, geran khas daripada fakulti boleh menggalakkan mahasiswa berkongsi kemahiran dengan masyarakat awam secara dalam talian.

Meskipun aktiviti ini bertujuan untuk mengurangkan tekanan mental mahasiswa, pihak fakulti perlu bekerjasama dengan kolej kediaman, pentadbiran dan ibu bapa untuk memastikan kelancaran setiap perancangan dan kebaikan mahasiswa.

Ibu bapa perlu memberi kepercayaan kepada universiti yang bertungkus lumus memastikan kebajikan dan akademik mahasiswa dapat diberikan secara terbaik meskipun dalam keadaan pandemik.

Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Masyarakat, Kulliyyah Pergigian, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top