Bantuan zakat untuk artis, kru

Bantuan zakat untuk artis, kru

fatin.farhana@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Bantuan kewangan dan keperluan asas yang dihulurkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada gitaris legenda, Man Kidal, 57, membuktikan keprihatinan badan itu meringankan bebas penggiat seni tempatan, tanpa mengira selebriti dikenali ramai atau petugas belakang tabir.

Man Kidal yang sebelum itu disahkan positif COVID-19, diberi status asnaf sementara bagi membolehkan pemuzik itu yang terputus mata pencarian sejak lebih setahun lalu akibat pandemik, bangkit semula apabila kesihatannya pulih.

Bukan sekadar Man Kidal, LZS juga sudah membantu ramai penggiat seni seperti pelakon, Allahyarham Tawil yang menerima bantuan pembiayaan sebanyak RM35,000 untuk memiliki kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Aman di ibu negara.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini, berkata ramai selebriti termasuk kru dibantu tanpa mengira latar belakang.

“Untuk mendapatkan jumlah selebriti dan penggiat seni yang sudah dibantu LZS agak sukar. Dalam data simpanan, kami tidak mengasingkan penerima bantuan mengikut profesion.

“Namun, apa yang boleh saya katakan, penerima bantuan daripada sektor seni membabitkan pelbagai latar belakang seperti pemuzik, pelawak, pelakon, kru belakang tabir dan sebagainya.

“Baru-baru ini, LZS membantu seorang ahli kumpulan nasyid tempatan dan pemuzik dari sebuah kumpulan rock.

“Apa yang dibantu sama ada daripada segi keperluan hidup seperti makanan dan wang atau perubatan bagi yang berpenyakit,” katanya kepada BH Online.

Mohd Sabirin berkata, bagi mematuhi prosedur sebelum bantuan dihulur, pihaknya membuat siasatan bagi memastikan penerima mematuhi syarat ditetapkan.

“Seperti Man Kidal, sebelum ini, beliau ada pekerjaan dan menjana pendapatan melalui persembahan dan sebagainya.

“Namun, disebabkan pandemik, pendapatan Man Kidal terjejas. Jadi, baru-baru ini, pasukan kami berkunjung ke rumahnya dan mendapati beliau memerlukan bantuan.

“Kami hulurkan bantuan kecemasan RM500 dan barangan keperluan asas kepadanya,” katanya.

Pada kunjungan itu, Mohd Sabirin berkata, pegawai meneliti semua keperluan Man Kidal dan keluarga sebelum bantuan tetap diagihkan.

“Sebelum kami memutuskan bantuan, kami buat taksiran dan melihat apakah beliau layak dikategorikan sebagai asnaf atau pun tidak.

“Selepas ditaksir pendapatan dan tanggungannya, Man Kidal diberi bantuan mengikut kelayakannya,” katanya.

Mohd Sabirin menjelaskan, LZS menggunakan garis kemiskinan mengikut had kifayah sebagai kayu pengukur sama ada individu terbabit fakir atau miskin.

Contohnya, bagi mengiktiraf seseorang itu fakir atau miskin, pertamanya, LZS perlu melihat pendapatan isi rumah iaitu pendapatan keseluruhan suami dan isteri. 

“Kemudian, LZS akan lihat jumlah tanggungan. Pengkelasan sesebuah isi rumah bagi menentukan sama ada mereka fakir atau miskin adalah berbeza antara keluarga. Ini bergantung kepada had kifayah dan bilangan isi rumah.

“Secara umum, di Selangor ini had kifayah adalah RM2,734 iaitu pendapatan bagi pasangan yang mempunyai tiga anak.

“Jika pendapatan kurang daripada nilai itu, kami perlu lihat jumlah tanggungannya. Contohnya, jika anak hanya seorang, dia tidak layak.

“Dia hanya layak apabila seorang ketua keluarga itu mempunyai tiga atau empat anak,” katanya sambil menjelaskan pengkelasan terhadap asnaf fakir dan asnaf miskin juga berbeza.

Mohd Sabirin berkata, sejak penularan pandemik COVID-19, lebih ramai individu termasuk yang dahulunya bergaji besar, memohon bantuan LZS.

“Sekarang, golongan miskin bertambah miskin. Bukan itu sahaja, ramai individu yang gajinya dipotong, dibuang kerja dan sebagainya, memohon bantuan LZS. 

“Disebabkan itu, ketika pandemik COVID-19 ini, kami memberi fokus kepada golongan bukan fakir dan miskin.

“Sebelum ini, kami beri fokus kepada golongan B40. Tetapi sekarang, kami mula beri tumpuan kepada golongan M40.

“Sejak pandemik, kami terima permohonan daripada kumpulan M40 yang sebelum ini memiliki pendapatan tinggi dan berpangkat besar tetapi diberhentikan kerja,” katanya.

Mohd Sabirin berkata, dalam memberi pertimbangan, pegawai LZS tidak melihat situasi pemohon sebelum pandemik COVID-19.

“Kami lihat apa keperluan pemohon sekarang. Tidak saya nafikan, kami menerima banyak komen yang bertanya mengapa LZS menghulurkan bantuan kepada tuan punya rumah besar. Mereka tidak tahu, golongan itu tidak mendapat gaji langsung.

“Bagi kumpulan ini, kami hulurkan bakul makanan dan bantuan ‘one-off’ kerana belum lagi jatuh dalam kategori fakir dan miskin,” katanya.

Bertindak lebih agresif mengikut situasi semasa, Mohd Sabirin berkata, LZS bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan persatuan penduduk bagi menjejak golongan memerlukan.

“Sekarang, banyak badan bukan kerajaan (NGO) membantu individu yang mengibar bendera putih di rumah. Sebaliknya, kami membantu semua pihak yang memerlukan termasuk mereka yang tidak mengibar bendera putih.

“Kami meluaskan liputan melalui kerjasama dengan PDRM dan persatuan penduduk,” katanya.

Individu yang mahu mendapatkan bantuan boleh mengemukakan permohonan dengan melayari www.zakatselangor.com.my.

Tiga syarat umum permohonan iaitu beragama Islam, rakyat Malaysia, lahir dan menetap di Selangor serta bermastautin atau tinggal tetap di Selangor tidak kurang daripada tempoh tiga tahun dan masih menetap.

Selain itu, pendapatan isi keluarga kurang atau tidak sampai had kifayah yang ditetapkan LZS.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top