ahmad.suhael@bh.com.my
KUALA LUMPUR: UMNO akan mengemukakan surat jawapan balas kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada Isnin ini, susulan ketetapan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 7 Julai lalu menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan, sebagai tidak sah.
Walaupun tidak memperincikan kandungan surat berkenaan, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, memaklumkan peguam UMNO berpandangan tiada kekhilafan berlaku di pihak parti itu.
“Setiausaha Agung UMNO akan memberi surat jawapan balas kepada Ketua Pengarah ROS (pada 9 Ogos 2021).
“Peguam UMNO telah dirujuk (berkenaan keputusan ROS) dan mereka menyatakan tiada sebarang kekhilafan di pihak UMNO,” katanya menerusi Twitter, hari ini.
Terdahulu, Ketua Pengarah ROS, Jasri Kasim, dilaporkan berkata, keputusan MKT UMNO menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah kerana dibuat selepas tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.
Sehubungan itu, Jasri meminta UMNO membuat permohonan penangguhan mesyuarat agung atau pemilihan, dengan mengemukakan cadangan tarikh kepada ROS dalam tempoh terdekat.
*Berita lanjut menyusul*
© New Straits Times Press (M) Bhd




