Untung bersih suku kedua Inari RM330.47 juta

Untung bersih suku kedua Inari RM330.47 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Inari Amertron Bhd bagi tahun kewangan yang berakhir 30 Jun 2021 meningkat kepada RM330.47 juta daripada RM155.75 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

Hasil meningkat sebanyak 35 peratus kepada RM1.43 bilion daripada RM1.06 bilion sebelumnya, disumbang oleh pertumbuhan hasil tinggi dalam segmen perniagaan frekuensi radio, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Inari berkata, ia kekal optimis dengan prospek bagi tahun kewangan 2022 susulan sokongan permintaan kukuh terhadap produk kumpulan daripada peralihan berterusan kepada 5G, pendigitalan perniagaan dan pemulihan ekonomi global yang disokong oleh peningkatan program vaksinasi.

“Kumpulan akan kekal menumpukan kepada strategi untuk menambah baik kapasiti pengeluarannya dan penggunaan untuk meningkatkan hasil sejajar dengan atau lebih baik daripada unjuran industri pada tahun kewangan 2022.

“Risiko negatif datang terutama daripada impak pandemik COVID-19 dan kemungkinan munculnya varian yang kebal daripada vaksin,” katanya.

Syarikat itu mencadangkan dividen interim keempat sebanyak 2.5 sen sesaham menjadikan jumlah dividen bagi tahun kewangan 2021 kepada 11 sen sesaham, meningkat daripada 4.4 sen sesaham pada Tahun Kewangan 2020.

-BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top