bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: UMNO boleh menyelesaikan secara baik dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung status Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan keputusan menangguhkan pemilihan parti itu.
Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa berkata, permasalahan yang wujud boleh diurus dengan baik, tanpa mana-mana ahli dan pemimpin menuding jari mencari salah siapa.
Katanya, isu membabitkan ROS dan UMNO boleh diselesai secara baik dan mengikut budi bicara, selagi tidak ada pihak tertentu menimbulkan ketegangan sehingga mengeruhkan keadaan.
“Kalau sekarang ini kita berpolitik untuk kebaikan, untuk berpakat, bukan untuk dendam, maka semua masalah akan selesai dengan baik.
“Sama-sama dalam kerajaan, patut kena tolong menolong. BERSATU ada masalah, selesaikan. UMNO ada masalah, selesaikan. PAS ada masalah, kita selesaikan. Nak cari salah, semua ada salah. Bukan semua baik.
“Gunalah budi bicara, tolong selesaikan masalah. Kalau parti lain kita (kerajaan) boleh luluskan pendaftarannya, PEJUANG pun sekejap sana lulus, apa masalahnya,” katanya kepada BH, hari ini.
Othman mengulas pendirian UMNO susulan ROS menetapkan keputusan MKT UMNO pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.
Ketua Pengarah ROS, Jasri Kasim, dipetik berkata, ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.
Mengulas lanjut, Othman berkata, permasalahan yang wujud membabitkan agensi kerajaan itu dengan UMNO tidak perlu diheret sehingga ke mahkamah.
“Saya yakin pihak pengurusan UMNO sedang berurusan mengenai perkara ini dan saya rasa tidak perlu perkara ini dibawa ke mahkamah, melawan sana sini, tak payah, buang masa,” katanya.
Beliau turut menasihatkan semua pemimpin mengambil semangat ketibaan Awal Muharam pada Selasa ini, supaya kembali kepada jalan penyatuan dan mengelak sebarang bentuk perpecahan.
“Berhentilah bertelagah, berkelahi. Menyalahkan orang sana sini. Menyerang sana sini. Cukuplah. Hentikan semua ini. Tiada faedah langsung kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.
Beliau berkata, UMNO perlu menunjukkan sikap penyatuan sebenar kepada semua pemimpin politik Melayu, dan mengelak mengambil tindakan boleh menyebabkan kuasa politik Melayu terhakis.
© New Straits Times Press (M) Bhd