COVID-19: Waris petugas kesihatan maut terima SR500,000

COVID-19: Waris petugas kesihatan maut terima SR500,000

RIYADH: Kerajaan Arab Saudi mula menyalurkan bantuan kewangan bernilai SR500,000 (RM562,503) kepada waris petugas kesihatan yang meninggal dunia ketika merawat pesakit COVID-19.

Memetik laporan Saudi Gazette, bantuan kewangan itu diputuskan Majlis Menteri, menurut Menteri Kesihatan dan Pengerusi Majlis Kesihatan Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah.

Penerima bantuan kewangan itu termasuk waris petugas kesihatan Arab Saudi dan ekspatriat dengan bantuan akan meliputi orang awam dan anggota tentera yang bekerja di sektor kesihatan kerajaan dan swasta, kata menteri itu.

Beliau berkata bantuan kewangan untuk ahli keluarga petugas kesihatan adalah sebagai penghargaan atas jasa dan pengorbanan terutama yang berada di barisan hadapan dalam memerangi wabak coronavirus.

Dr Al-Rabiah menghargai sokongan dan keprihatinan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman dan Putera Mahkota Muhammad Bin Salman dalam meningkatkan tahap dan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada warganegara dan penduduk di negara berkenaan.

Beliau turut memuji pengorbanan dilakukan petugas di sektor kesihatan dengan dedikasi dan keikhlasan dalam melaksanakan pekerjaan dan menawarkan perkhidmatan perawatan kesihatan terbaik untuk pesakit.

Dr Al-Rabiah menekankan sektor kesihatan berusaha keras memerangi pandemik, mengawal dan mencegah penyebarannya dengan segala cara ilmiah dan praktikal, manakala kerajaan memperuntukkan belanjawan yang besar dalam meningkatkan kesiapsiagaan sektor kesihatan.

Sesi mingguan Majlis Menteri pada 27 Oktober tahun lalu memutuskan pemberian SR500,000 sebagai bantuan kewangan kepada keluarga petugas kesihatan, yang meninggal dunia ketika merawat pesakit COVID-19.

Keputusan Kabinet, yang dianggap sebagai tindakan kemanusiaan yang hebat terpakai kepada petugas kesihatan yang meninggal dunia sejak 31 Mac tahun lalu ketika kes jangkitan pertama dalam kalangan petugas kesihatan dilaporkan di negara itu. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top