bhnews@bh.com.my
KUALA TERENGGANU: Bekas mufti negeri, Datuk Al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir, diumumkan sebagai tokoh Maal Hijrah Terengganu tahun ini.
Abdul Halim, 86, dilahirkan di Jertih, Besut dan mendapat pendidikan awal di sekolah pondok di Jertih dan menyambung pengajian peringkat menengah di Sekolah Darul Ulum, Makkah.
Beliau dilantik sebagai mufti mulai tahun 2000 hingga 2004.
Abdul Halim yang juga Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) sejak tahun 2007, diumumkan sebagai tokoh Maal Hijrah oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, sempena Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri, yang diadakan secara dalam talian, hari ini.
Abdul Halim menerima hadiah wang tunai RM20,000, sijil penghargaan dan persalinan.
Bagi kategori Tokoh Imam Cemerlang, Imam Masjid Kampung Rawai, Marang, Abd Wahab Muhammad, 77, diumumkan menerima anugerah berkenaan.
Abd Wahab yang juga jurumandi jenazah dan jurunikah bertauliah bagi Mukim Bukit Payung, Marang, dan bertugas di masjid Kampung Rawai, sejak tahun 1964, menerima hadiah wang tunai berjumlah RM5,000, piala dan sijil.
Sementara itu, bilal masjid Kampung Pecah Rotan, Kuala Nerus, Mohd Puteh, 67, pula dianugerahkan sebagai Tokoh Bilal cemerlang sempena Maal Hijrah tahun ini.
Mohd yang bertugas sebagai bilal di masjid Kampung Pecah Rotan, Kuala Nerus, selama 35 tahun sejak 1986 menerima hadiah wang tunai berjumlah RM5,000, piala dan sijil.
© New Straits Times Press (M) Bhd




