PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) mengumumkan sudah menandatangani legenda Barcelona, Lionel Messi.
Pemain berusia 34 tahun itu terbang ke Paris untuk menyelesaikan perjanjian dengan ratusan peminat berpusu-pusu menuju ke lapangan terbang tempatan untuk menyambut bintang itu.
Ketibaan Messi diumumkan, hari ini, selepas spekulasi membabitkan pemain itu mencetuskan kehangatan dalam bola sepak Eropah.
PSG mengesahkan menandatangani Messi dengan berkongsi video di media sosial, yang menunjukkan Messi menyarung jersi Argentina dan enam anugerah Ballon d’Or.
Penyokong setia PSG tiba di lapangan terbang Le Bourget hari ini, untuk melihat legenda bola sepak itu.
Ramai juga peminat yang menunggu di Stadium Parc des Princes dan beberapa jalan di Paris ketika Messi muncul di ibu negara Perancis itu.
Pemenang Liga Juara-Juara empat kali itu melambaikan tangan kepada penyokongnya di lapangan terbang Le Bourget.
Kontrak Messi masih belum diumumkan secara rasmi, namun dipercayai perjanjian itu membabitkan tempoh dua tahun dengan pilihan tahun ketiga.
Bapa Messi, Jorge dilaporkan mengesahkan perpindahan itu dengan mengatakan kepada media: “Leo akan menandatangani kontrak dengan PSG hari ini.” – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




