All change as top Bundesliga clubs hunt champions Bayern
BERLIN: Semuanya berubah dalam kempen baharu Bundesliga – yang akan bermula awal pagi Sabtu ini – dengan jurulatih baharu akan mengemudi setiap enam kelab utama bagi menafikan Bayern Munich kejuaraan liga ke-10 berturut-turut.
Dalam situasi jarang berlaku, semua kelab yang menghuni enam kedudukan teratas pada 2020/21 kini memiliki ketua jurulatih baharu.
Tekanan pasti dirasai bos baharu Bayern, Julian Nagelsmann, 34, yang diberikan tugas memberikan juara bertahan itu kejuaraan ke-10 berturut-turut dalam musim pertamanya.
Mereka dilaporkan membayar pencabar utama, Leipzig 25 juta euro (RM124.36 juta) bagi mendapatkan Nagelsmann, yang juga sudah diberi amaran apa yang perlu dilakukannya.
“Pemburuan bermula,” kata ketua pegawai eksekutif Bayern yang baharu, Oliver Kahn menjelang perlawanan pembukaan awal pagi Sabtu ini ketika Borussia Moenchengladbach menanti kehadiran kelab Bavaria itu.
Kahn, yang juga bekas kapten kelab, menjangkakan kejohanan kali ini akan menyaksikan pasukan lain “akan mencuba apa sahaja” bagi menyingkirkan Bayern dari kedudukan teratas.
Bayern membayar 42.5 juta euro (RM211.42 juta) bagi mendapatkan pertahanan tengah Perancis, Dayot Upamecano dari RB Leipzig.
Bagaimanapun mungkin tiada pemain baharu lain dibeli musim panas ini dengan Bayern menjangkakan kerugian 150 juta euro (RM746.18 juta) kerana pandemik. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd



