2 penunjuk perasaan cedera bertempur dengan polis Thailand

2 penunjuk perasaan cedera bertempur dengan polis Thailand

BANGKOK: Polis Thailand bertempur dengan penunjuk perasaan hari ini selepas ratusan orang berkumpul di tengah Bangkok, untuk berarak ke kediaman Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha.

Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah dari kawasan lebuh raya bertingkat selepas penunjuk perasaan cuba merobohkan kontena yang digunakan sebagai sekatan jalan.

Aktivis dari kumpulan anak muda Thalufah yang lebih awal merancang mengadakan tunjuk perasaan secara aman minggu juga terpaksa berdepan dengan polis yang menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah bagi menyuraikan protes.

Penunjuk perasaan menjerit ‘Prayut, keluar’ ketika mereka memulakan perarakan dari Monumen Kejayaan Bangkok petang tadi.

Mereka menyalahkan Prayut yang gagal menangani krisis COVID-19 yang makin bertambah buruk dengan rekod baharu harian 23,418 jangkitan hari ini.

Aktivis Songpon ‘Yajai’ Sonthirak, pada permulaan perhimpunan itu, berkata pentadbiran kerajaan yang gagal menangani COVID-19 mengakibatkan ramai mati dan sudah tiba masanya Prayut disingkirkan.

Ketua Polis Bangkok, Pakapong Pongpetra, berkata pihak berkuasa sudah mengeluarkan amaran supaya jangan melanggar peraturan COVID-19 dan berkata mereka sudah mendakwa 300 individu yang terbabit dalam perhimpunan terbaru.

“Polis berhasrat untuk mengekalkan keamanan, mereka yang menyertai perhimpunan berisiko dijangkiti serta melanggar undang-undang lain juga,” katanya kepada wartawan.

Perhimpunan yang diketuai pergerakan anak muda yang menarik perhatian ramai tahun lalu kini semakin meraih momentum tahun ini meskipun negara itu berdepan penularan COVID-19 terburuk.

Beberapa pemimpin utama mereka masih ditahan, menunggu untuk dibicarakan di bawah akta hasutan, menimbulkan rusuhan dan kesalahan lain. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top