LUMUT: Pergerakan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak hari ini membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan kenyataan mengelirukan, memudaratkan demokrasi berparlimen serta berunsur rasuah ketika membuat perutusan khas petang semalam.
Laporan polis itu dibuat oleh Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Perak merangkap Naib Ketua Pemuda Amanah Kawasan Lumut, Mohd. Ikhmal Mohd. Iskandar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di Seri Manjung di sini hari ini.
Dalam laporan itu, Mohd Ikhmal memberitahu, ketika berada di rumah pada pukul 6 petang semalam, beliau menonton perutusan khas Muhyiddin yang mengakui beliau tidak lagi mendapat keyakinan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri tetapi masih kekal menyandang jawatan itu kerana menurutnya, tiada Ahli Parlimen lain yang memiliki sokongan majoriti untuk dipilih sebagai Perdana Menteri ketika ini.
“Kenyataan itu adalah tidak benar dan sangat mengelirukan seluruh rakyat Malaysia kerana Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menghendaki Perdana Menteri meletakkan jawatan sekiranya tidak lagi mendapat keyakinan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.
“Di samping itu, kenyataan tersebut jelas bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri pada 4 Ogos lalu yang menyatakan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam laporan itu.
Menurut Mohd. Ikhmal, kenyataan Muhyiddin yang secara terbuka dan terang-terangan menawarkan pelbagai tawaran politik dan imbuhan kepada Ahli Parlimen pembangkang bertujuan menyokongnya untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri, adalah satu bentuk sogokan yang jelas menyalahi Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak polis melakukan siasatan segera terhadap Muhyiddin atas perbuatan yang menyalahi Akta SPRM 2009 dan melakukan tindakan yang boleh memudaratkan demokrasi berparlimen yang boleh disiasat di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan serta undang-undang lain yang berkaitan kesalahan tersebut. – UTUSAN ONLINE




