Kerja selesa, bukan 'anak emas'

Kerja selesa, bukan 'anak emas'

fatin.farhana@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Sering membintangi drama terbitan syarikat produksi, Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, Aqasha menafikan dirinya ‘anak emas’ kepada pemilik empayar perniagaan itu, Datuk Rosyam Nor.

Aqasha atau nama sebenar, Firdee Akassya Rosli, 38, berkata, persefahaman antara syarikat produksi terbabit dan dirinya menjadikan mereka selesa bekerjasama.

“Saya tidak fikir diri ini ‘anak emas’ Suhan Movies. Saya kerap berlakon di bawah syarikat ini mungkin kerana sudah lama dalam industri.

“Seperti yang dinyatakan Rosyam, beliau selesa bekerja dengan orang yang tahu mengenai ruang dan pekerjaannya… Saya juga begitu.

“Itu adalah sebab kenapa saya kerap bekerjasama dengan syarikat produksi ini… Saya bukanlah ‘anak emas’ Suhan Movies,” katanya pada sidang media virtual mempromosikan drama rantaian Cik Ayu Mee Sanggul.

Aqasha melakonkan watak duda, Akhtar dalam drama yang menggandingkan dirinya dengan Amelia Henderson. Drama Cik Ayu Mee Sanggul mula menemui penonton di saluran Astro Ria sejak 27 Julai lalu.

Drama ditulis Nieza Nahar arahan Idora Abdul Rahman itu memaparkan pengorbanan janda muda yang mengahwini duda tanpa ikatan cinta dan menjadi ibu tiri kepada anak yang masih kecil.

Sementara itu, ditanya mengenai aktiviti sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Aqasha berkata, dia banyak meluangkan masa bersama keluarga selain aktif di YouTube.

“Saya tidak menafikan, memasuki tahun kedua PKP, kerjaya lakonan terganggu. Mujur sejak sebelum pandemik, saya aktif membuat kerja lain demi survival hidup, begitu juga isteri saya,” katanya.

Aqasha berkata, dia banyak perkara baharu sejak berkurung di rumah.

“Saya jumpa benda-benda baharu yang boleh dijadikan hobi. Semua maklumat ada di hujung jari. Buka sahaja internet dan YouTube, macam-macam tutorial ada.

“Disebabkan itu, saya aktif bermain gitar dan mencipta lagu. Cuma, saya tiada perancangan untuk menghasilkan single,” katanya.

Aqasha juga belajar menyelenggara dan membaiki gitar melalui internet.

“Saya dapat kemahiran. Jadi, saya dalami ilmu gitar iaitu bagaimana menjadikan alat muzik itu lebih seronok dan sedap untuk dimainkan,” katanya.

Aqasha berharap sektor industri kreatif boleh beroperasi semula agar penggiat seni dapat bekerja.

“Kami sudah maklum dengan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi. Apa yang kami harapkan adalah sektor industri kreatif dapat kembali beroperasi,” katanya.

Aqasha berkata, sebagai umat Islam, dia percaya pandemik COVID-19 adalah musibah yang perlu diteladani manusia.

“Sepanjang PKP saya dapat meluangkan banyak masa merenung diri. Apa yang saya buat dalam hidup selama ini termasuk berapa banyak kebaikan dan keburukan yang dilakukan.

“Apatah lagi, saya bakal menginjak usia 40-an, banyak isu serius yang perlu saya fikirkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top