PARIS: Syarikat penerbangan mengelak melakukan penerbangan ke Afghanistan berikutan pihak berkuasa penerbangan tempatan mengarahkan mereka untuk mengubah laluan selepas ruang udara Kabul diserahkan kepada tentera.
British Airways, Lufthansa, Singapore Airlines, Air France dan Virgin Atlantic mengumumkan mereka tidak lagi melakukan penerbangan ke negara itu selepas Taliban mengambil alih Kabul.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Afghanistan menyatakan dalam ‘notis kepada pesawat udara’ bahawa ‘ruang udara Kabul telah diserahkan kepada tentera’.
Ia menasihatkan syarikat penerbangan untuk mengubah arah kerana setiap transit melalui ruang udara Kabul tidak akan terkawal.
Kumpulan Lufthansa termasuk Austrian Airlines, Brussels Airlines, Eurowings dan Swiss serta Air France menyatakan mereka tidak akan lagi menggunakan ruang udara Afghanistan sehingga diberitahu kelak.
Lufthansa menyatakan penerbangan kumpulannya ke India akan mengalami kelewatan sehingga sejam untuk memastikan keselamatan penerbangan.
Ribuan orang mengerumuni lapangan terbang Kabul ketika mereka cuba melarikan diri dari negara itu selepas Taliban menguasai ibu kota.
Amerika Syarikat menghantar 6,000 tentera ke lapangan terbang untuk memastikan pemindahan kakitangan kedutaan serta warga Afghanistan yang bekerja sebagai jurubahasa atau dalam peranan sokongan lain.
Kerajaan lain termasuk Perancis, Jerman dan Australia juga mengatur penerbangan sewa.
Pihak Lufthansa sedang berbincang dengan Jerman bagaimana ia dapat menyumbang kepada usaha untuk membawa pulang warga Jerman dan yang lain.
Perancis menyatakan akan memulakan penerbangan pemindahan hari ini dengan dua pesawat pengangkutan tentera. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




