Santo tak sabar tamatkan spekulasi perpindahan Kane

Santo tak sabar tamatkan spekulasi perpindahan Kane

LONDON: Harry Kane berada dalam skuad Tottenham Hotspur untuk aksi Liga Konference Europa (ECL) minggu ini, ketika Nuno Espirito Santo mengakui tidak sabar menunggu jendela perpindahan ditutup dan menamatkan spekulasi mengenai masa depan penyerang itu.

Manchester City berminat untuk menandatangani kapten England, Kane dan dilaporkan sudah mengemukakan tawaran sebanyak 100 juta pound (RM587 juta) pada Jun lalu.

Kane yang masih memiliki baki kontrak tiga tahun lagi – tiada dalam skuad Tottenham ketika pasukan itu meraih kemenangan 1-0 ke atas juara bertahan, City dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris pada hujung minggu.

Namun, The Times mendakwa, Kane dijangka kekal semusim lagi kerana keengganan City untuk bertemu dengan Pengerusi Tottenham, Daniel Levy yang dilaporkan meminta harga 160 juta pound (RM939 juta).

Pemain berusia 28 tahun itu disenaraikan dalam skuad 25 terbaik Tottenham untuk aksi play off ECL menentang Pacos de Ferreira.

“Kami mempunyai skuad kami, kami memiliki pemain Spurs,” kata Nuno kepada BBC, hari ini.

“Kita harus mendapat komitmen mereka tetapi kita harus sedar bahawa kadang-kadang 31 Ogos tiada dalam tangan anda.

“Semua pengurus di Liga Perdana Inggeris memiliki perasaan yang sama seperti saya – berusaha untuk menyelesaikan jendela perpindahan dan bertenang.”

– AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top