Rozaimi teruja dengan penyokong Kedah

Alor Setar: Penyerang baharu Kedah, Rozaimi Abd Rahman berazam ingin membuktikan kesungguhan dan kemampuannya dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC kepada penyokong skuad Hijau Kuning bagi musim 2021.

Menurut bekas pemain kebangsaan ini, dia begitu teruja dengan semangat yang dipamerkan oleh penyokong Kedah dalam setiap kali aksi perlawanan diadakan.

“Penyokong Kedah adalah penyokong fanatik jika dibandingkan dengan mana-mana penyokong pasukan lain yang saya lihat, tapi bagi saya memang penyokong Kedah fanatik habis”, katanya.

“Untuk aksi musim depan, saya mahu pastikan aksi terbaik saya untuk mereka (penyokong Kedah) dan ini mendorong saya terus bekerja keras dan saya mesti bersungguh-sungguh untuk mereka”, katanya lagi.

Rozaimi turut mengakui disamping reputasi pasukan dan pengaruh penyokong, pendorong lain untuk beliau memilih bersama skuad itu adalah kerana hasratnya untuk bersama Kedah yang disimpan selama ini.

“Saya pilih Kedah sebab memang sudah menjadi sasaran saya sebelum ini dan disamping itu ramai pemain yang saya kenali dalam pasukan Kedah yang turut memberi galakan dan saya perlu berusaha dengan lebih gigih bagi membuktikan kemampuan yang saya miliki”, tambahnya.

“Tiada masalah untuk saya berhijrah ke Kedah kerana saya juga hendak mencari pengalaman bersama pasukan Kedah dan sebelum ini pun memang niat saya untuk bermain dengan Kedah. Persaingan dalam pasukan yang padu dari pengamatan saya, sebenarnya adalah cabaran untuk saya buktikan saya masih boleh bermain dengan baik”, tambahnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Rozaimi juga mengakui dengan kebenaran kehadiran semula penyokong sebanyak 10 peratus pada musim depan di stadium pastinya menyuntik semangat berganda buatnya.

“Sebelum ini stadium agak sunyi, dan apabila berita penyokong sudah boleh mula masuk ke stadium pada musim depan, ini akan menambahkan semangat untuk beraksi kerana apabila ada penyokong, baru kita dapat bermain dengan lebih bersungguh-sungguh dan habis-habisan”, ujarnya.

Sumber: HM

Akmal Hakim
Sports Desk

Scroll to Top