Arab Saudi bantah duti anti lambakan EU

Arab Saudi bantah duti anti lambakan EU

GENEVA: Arab Saudi memfailkan aduan kepada Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) terhadap Kesatuan Eropah (EU) berhubung duti import anti-lambakan.

Menurut dokumen yang diterbitkan semalam, Arab Saudi dalam aduan bertarikh 17 Ogos, mendakwa EU melaksanakan duti anti-lambakan bagi sebatian kimia untuk menghasilkan gentian sintetik dan botol plastik.

Negara itu menyifatkan duti anti-lambakan sementara itu dilaksanakan secara tidak adil terhadap import mono-etilena glikol iaitu sebatian kimia bagi pelbagai industri termasuk menghasilkan gentian poliyester dan komponen membuat botol plastik.

Ia turut digunakan dalam penghasilan bendalir penyejuk enjin bagi industri automotif, pelarut dan bahan penyahhidratan dalam saluran paip gas asli.

Susulan siasatan dijalankan tahun lalu, Brussels kekal berpendirian terdapat bukti sebatian itu, yang diimport dari Arab dan serta Amerika Syarikat (AS), dikenakan bayaran yang terlalu rendah dan memberi kesan pada pengilang dalam EU.

Menurut aduan Arab Saudi, EU mengenakan duti anti-lambakan bermula 12 Jun lalu, bagi tempoh enam bulan.

Aduan itu turut mendakwa EU menggunakan kaedah yang salah dalam menentukan harga import Arab Saudi terlalu rendah dan menegaskan duti berkenaan melanggar peraturan perdagangan antarabangsa.

Lambakan bererti negara pengeksport menjual produk atau perkhidmatan kepada negara pengimport pada harga di bawah kadar yang dikenakan di negara asal.

Pelaksanaan duti anti-lambakan adalah dibenarkan di bawah peraturan perdagangan antarabangsa selagi ia mematuhi syarat yang ketat dan pertikaian berkaitan pada kebiasaannya di bawa ke Badan Penyelesai Pertikaian WTO.

Arab Saudi memohon rundingan bagi membantu menyelesaikan pertikaian dengan EU iaitu langkah pertama dalam sistem pertikaian WTO.

Langkah itu bertujuan memberi peluang kepada pihak berkaitan untuk berbincang dan menyelesaikan perbezaan tanpa membabitkan tindakan perundangan.

Jika rundingan berkenaan gagal, WTO akan mewujudkan satu panel pakar untuk meneliti kes berkenaan. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top