'Cari penyelesaian urus kit ujian kendiri COVID-19'

'Cari penyelesaian urus kit ujian kendiri COVID-19'

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kementerian berkaitan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Alam Sekitar dan Air perlu duduk semeja bagi menghasilkan penyelesaian terbaik dalam isu pengurusan kit ujian kendiri COVID-19.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ketika ini pengurusan kit ujian kendiri COVID-19 dilihat tidak teratur dengan pembuangan kit dilakukan tanpa kaedah yang betul.

“Tindakan ini memudaratkan banyak pihak antaranya pekerja am yang menguruskan sisa pepejal.

“Mereka terdedah secara langsung dengan sisa kit yang berkemungkinan dicalit virus COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyambut baik inisiatif KKM meluluskan 11 kit ujian kendiri COVID-19 dengan bersyarat tujuh daripadanya menggunakan sampel air liur, manakala baki selebihnya calitan hidung.

“Banyak kesan baik wujud dengan kemudahan kit ini. Namun begitu, ia tetap mempunyai kesan buruknya terhadap masyarakat. Pada masa ini, dilaporkan masyarakat mengambil sikap sambil lewa dalam isu pengurusan pembuangan sisa kit.

“Kesannya, penularan wabak akan menjadi sporadik yang berpunca akibat tidak menguruskan sisa kit ujian kendiri dengan betul,” katanya.

Lam Thye berkata, beberapa langkah harus diambil bagi membendung masalah itu dengan kit ujian perlu dilengkapi manual pembuangan yang betul dan selamat.

“Ini memudahkan masyarakat mengikuti arahan dan mengelakkan membuangnya sesuka hati.

“Pihak pengurusan sisa pepejal perlu membekalkan pakaian PPE kepada pekerja am yang terdedah dengan sisa pepejal yang tidak diketahui puncanya,” katanya.

Beliau turut menasihati masyarakat untuk lebih bertanggungjawab terhadap penggunaan kit ujian kendiri ini.

“Pihak kerajaan menyediakan kemudahan dan memberi kepercayaan kepada rakyat untuk membuat ujian kendiri.

“Kepercayaan ini haruslah dibalas dengan sikap tanggungjawab tinggi bagi mengekang penularan wabak, sekali gus menyelamatkan negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top