Pekebun durian rugi RM20,000 ditipu

Pekebun durian rugi RM20,000 ditipu

bhnews@bh.com.my

KUANTAN: Seorang pekebun durian menjadi menjadi mangsa sindiket penipuan menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis hingga kerugian RM20,000, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa berusia 28 tahun dari Raub dihubungi suspek kononnya pegawai LHDN dari Alor Setar, Kedah untuk pengesahan maklumat peribadi.

Beliau berkata, panggilan kemudian disambung kepada seorang ‘pegawai polis’ di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar untuk semakan berhubung kes tunggakan cukai syarikat didaftarkan atas nama mangsa.

“Mangsa diarah menjelaskan tunggakan cukai berjumlah RM17,000 bagi mengelak tindakan mahkamah.

“Bimbang dikenakan tindakan, mangsa akur dan membuat bayaran itu pada hari sama dengan jumlah keseluruhan RM20,000 melalui pindahan wang ke akaun bank atas nama seorang lelaki,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, selepas bayaran dibuat mangsa cuba menghubungi suspek, namun gagal apabila nombor telefon digunakan sudah ditamatkan.

Beliau berkata, mangsa yang curiga membuat semakan di Pejabat LHDN cawangan Raub dan mendapati tiada cukai tertunggak direkodkan di atas namanya.

Katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Raub, semalam untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top