BERLIN: Borussia Dortmund kalah mengejut 2-1 kepada Freiburg pagi tadi ketika bintang penyerang, Erling Braut Haaland gagal menemui gawang dalam saingan Bundesliga.
Ia kali pertama Dortmund tewas kepada Freiburg dalam liga utama Jerman dalam tempoh 11 tahun, hanya empat hari selepas kalah 3-1 di tangan Bayern Munich pada Piala Super Jerman.
“Kami melakukan kesilapan bodoh, dua kali!” kata pertahanan tengah Dortmund, Manuel Akanji.
“Kami memberikan sepakan percuma untuk gol pertama dan gol kedua menerusi serangan balas pantas.
“Kami tidak boleh memberikan peluang lawan menjaringkan gol, terutama ketika kami ada perlawanan untuk Liga Juara-Juara.”
Dortmund akan mengetahui siapa lawan mereka pada peringkat kumpulan pada majlis undian Liga Juara-Juara Khamis ini.
Dortmund membelasah Eintracht Frankfurt 5-2 pada minggu pembukaan liga tetapi kelonggaran di bahagian pertahanan terdedah sekali lagi sama seperti berlaku musim lalu. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd