Kuala Lumpur: Misbun Ramdan Misbun, 29, berharap dapat mendapatkan semula rentak permainannya dalam Kejohanan Badminton Purple League Pro-Am yang dijadualkan bermula Selasa ini di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya.
Misbun Ramdan mengakui bergelut untuk kembali ke prestasi asal setelah berehat panjang kerana kecederaan tendon Achilles di kaki kanan pada 2014.
“Saya berharap dapat kembali ke permainan terbaik saya memandangkan hanya 16 pemain sahaja yang bakal mengambil bahagian (dalam acara perseorangan lelaki). Persaingan memang sengit, namun saya harap boleh beri yang terbaik selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan ini dan harap saya boleh banggakan keluarga saya”, kata pemain itu kepada media Bernama.
Sementara itu, anak kepada legenda badminton negara Datuk Misbun Sidek itu menyerahkan kepada kelabnya iaitu Nusa Mahsuri bagi menentukan perancangan kejohanan antarabangsa yang akan disertainya pada tahun 2021.
Pada masa sama, dia juga berterima kasih kepada kelab itu kerana memberikan sokongan moral untuknya sepanjang lima tahun menjalani rawatan pemulihan kecederaan itu.
Kali terakhir Misbun Ramdan menyertai kejohanan antarabangsa ialah pada Kejohanan Cabaran Antarabangsa Bangladesh, Disember 2019 yang menyaksikan dia terkandas di pusingan pertama.
Untuk rekod, Misbun Ramdan pernah merangkul gelaran juara kebangsaan pada 2012 disamping menggondol enam kejuaraan Eropah dari tahun 2013 hingga 2014 sebelum membuat keputusan berehat panjang kerana kecederaan tersebut.
Sumber: BH Online
Akmal Hakim
Sports Desk



