Militan Daesh cabar AS – Utusan Digital

Militan Daesh cabar AS – Utusan Digital

KABUL: Kebimbangan Amerika Syarikat (AS) dan negara sekutu mengenai ancaman serangan pengganas selepas penguasaan Taliban menjadi ‘kenyataan’ selepas insiden serangan pengebom berani mati di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul.

Serangan turut melibatkan letupan bom berdekatan Hotel Baron.

Tentera AS dilaporkan berdepan lebih banyak serangan militan Daesh sebelum misi menyelamat sepatutnya berakhir 31 Ogos depan.

Serangan dahsyat itu mengorbankan nyawa 90 orang awam serta 13 tentera AS setakat ini.

Pegawai AS menjangka angka kematian tersebut dijangka meningkat.

Dalam masa sama, seramai 18 tentera AS mengalami kecederaan dan diselamatkan oleh unit perubatan C-17.

Pengeboman berani mati itu merekodkan kes kematian paling terburuk dalam kalangan anggota tentera AS, sejak 10 tahun lalu.

Jeneral Tentera Marin AS, Frank McKenzie berkata, letupan bom itu berlaku susulan serangan bersenjata dan ancaman daripada militan Daesh serta menjadi perangsang kepada aliran pengganas lain.

“Kami percaya ini adalah hasrat mereka untuk meneruskan serangan berdarah dan serangan itu akan terus berlaku dan kami melakukan persediaan sehabis baik,” katanya dalam sidang akhbar di Pentagon.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan serangan seterusnya melibatkan pelancaran roket ke kawasan lapangan terbang atau cubaan menghantar bom kereta.

MISI PEMINDAHAN DITERUSKAN

McKenzie berjanji proses pemindahan akan diteruskan dengan ribuan tentera AS dikerahkan ke lapangan terbang itu bagi menyelamatkan rakyat AS dan Afghanistan yang memberikan bantuan kepada pihak tentera serta golongan yang diselubungi ketakutan mengenai keselamatan di negara itu.

“Kita sudah menghantar 5,000 anggota tentera bagi menyelamatkan seberapa ramai orang awam. Ini adalah misi yang mulia dan saya berani jamin militan Daesh tidak akan mampu menghalang kita daripada menyelesaikan misi ini,” tegasnya.

Jika keadaan memerlukan, Mc Kenzie berkata, AS akan menggunakan pesawat pejuang bagi melindungi kawasan lapangan terbang termasuk kapal perang AC-130.

DAESH KEMBALI MENJADI PERHATIAN DUNIA

Walaupun serangan itu bukan didalangi Taliban, namun, imej kumpulan itu turut tercalar kerana mereka menjanjikan untuk menyediakan kehidupan yang selamat untuk rakyat.

Serangan pertama yang berlaku selepas Taliban mengambil alih Afghanistan itu menimbulkan persoalan apakah nasib rakyat di negara itu selepas ini?

Adakah Afghanistan benar-benar stabil daripada aspek politik, ekonomi dan keselamatan?

Taliban memberitahu Reuters bahawa kumpulan itu menahan militan Daesh di lapangan terbang beberapa hari lalu dan hasil soal siasat, anggota militan itu mengaku mengenai rancangan serangan itu.

Disebabkan itu, Taliban menangguhkan semua acara melibatkan perhimpunan di tempat awam dan menasihatkan pemimpin kanan tidak berkumpul.

Militan Daesh kembali menjadi perhatian dunia apabila mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu dan pengebom berani matinya menyasarkan jurubahasa dan golongan yang bekerjasama dengan tentera AS.

Kumpulan pengganas itu bangga apabila dapat menyasarkan letupan di kawasan yang penuh sesak dengan orang ramai di Kem Baran berdekatan lapangan terbang.

Militan Daesh merupakan musuh tradisi Taliban dan pegawai perisikan AS mempercayai gerakan itu mengambil kesempatan semasa ketidakstabilan yang menyebabkan kejatuhan pentadbiran Afghanistan yang didukung oleh negara Barat.

Peluang itu digunakan sehabis baik bagi mengukuhkan kedudukan dan pengaruh mereka.-REUTERS

Scroll to Top