Kota Bharu: Kelantan United Football Club (KUFC) melakukan kejutan apabila dua pemain berpengalaman, Mohd Badhri Radzi (Piya) dan Fitri Omar sah menyertai mereka untuk mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Penyertaan mereka berdua sekaligus melengkapkan senarai 23 pemain KUFC yang rata-rata dibarisi tonggak berumur 26 tahun.
Presiden KUFC, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata pihaknya sengaja membuat gabungan pemain berusia dan pemain muda bagi membentuk DNA disiplin yang tinggi dalam pasukan itu.
“Kita perlukan pemain yang berdisiplin untuk bentuk pasukan yang baik, jadi kita dah pilih pemain yang boleh beri komitmen tinggi selain kehadiran tonggak senior ini memberi semangat kepada pemain muda bersaing sengit musim depan”, katanya.
Menurutnya juga, kehadiran Piya dan pemain senior lain pula bukan sekadar tempelan atau tarikan semata-mata, namun akan turut bermain sepanjang perlawanan.
“Kita nafikan Piya dan Fitri hanya bagi menarik perhatian peminat, mereka nak bermain malah sudah beri keyakinan dengan tahap kecergasan mereka”, tambahnya.
Beliau juga berkata, gabungan pemain berusia dan muda itu juga memberi keyakinan untuk KUFC menjadi pencabar liga disamping akan memperkenalkan dua pemain import bagi mencukupi kuota pemain dalam masa terdekat.
Setakat ini, KUFC mengekalkan Gassama AlFussainey dari Gambia dan menandatangani bekas pemain Kuching City FC (KCFC), Yuki Tanigawa dari Jepun sebagai awang import pasukan itu.
“Antara strategi kita juga, ambil jurulatih Jepun, Akira Higashiyama bimbing skuad ini sebab kita serius nak bangunkan pasukan”, katanya lagi dalam sidang media memperkenalkan pegawai dan pemain di Hotel Ibis Style kelmarin.
Beliau juga memberitahu bahawa Higashiyama sudah menetapkan sasaran dengan mahu pasukan itu berada di kelompok empat pasukan teratas.
Dalam perkembangan berkaitan, Che Abdullah berkata pihaknya memperuntukkan RM 5 juta untuk mengurus pasukan itu termasuk soal gaji pemain bagi musim depan.
Katanya lagi, KUFC turut mendapat tajaan beberapa pihak yang sudah bersetuju membantu kantung kewangan pasukan disamping turut menandatangani penajaan bersama dua syarikat iaitu LK Properties yang menaja dua buah kereta bagi kegunaan KUFC serta syarikat minuman Freshlife Sdn Bhd bagi kegunaan air mineral pada sesi latihan dan perlawanan.
Sumber: Media Mamak
Akmal Hakim
Sports Desk



