Keindahan berbahasa Melayu cerminan jiwa merdeka

Keindahan berbahasa Melayu cerminan jiwa merdeka

bhrencana@bh.com.my

Hari ini kita di ambang sambutan Hari Kemerdekaan Ke-64 dalam keadaan negara diasak pelbagai cabaran daripada isu pandemik COVID-19 hinggalah politik.

Namun, sedarkah kita terdapat satu asas penting menjadi pasak dalam menentukan sejauh mana kita merdeka secara lahiriah dan batiniah.

Bukan lagi sekadar ceritera sambungan berzaman, sebaliknya hakikat kegemilangan bahasa Melayu pernah berperanan sebagai bahasa utama ketika zaman kegemilangan Melaka, perlu sebati dan kukuh dalam minda dan sanubari masyarakat hari ini.

Kepudaran fungsi bahasa Melayu sepanjang tempoh penjajahan disemarakkan kembali selepas kemerdekaan apabila ia diangkat bahasa kebangsaan negara dan dipertingkatkan fungsi peranannya sebagai bahasa perpaduan kaum.

Bahasa Melayu diangkat taraf dalam Perlembagaan tanpa mengetepikan peranan bahasa lain yang dipunyai dan dimiliki masyarakat multi etnik. Ia bukan disebabkan citra budaya Melayu semata-mata, sebaliknya atas kesedaran menyatukan kepelbagaian kaum yang wujud sebelum kemerdekaan.

Satu bahasa perlu diangkat untuk dimahiri pelbagai kaum bagi menggalakkan interaksi efektif dan akhirnya mengikat kebersamaan. Bahasa asing tidak mampu mendakap fungsi ini kerana tidak dapat menyantuni seluruh masyarakat pelbagai latar demografi dan paling penting tidak memenuhi citra sebuah negara merdeka.

Justeru, sudah semestinya bahasa kebangsaan berperanan dalam kerangka budaya bangsa Malaysia. Bak kata ungkapan, bahasa jiwa bangsa. Apa itu jiwa? Nyawa dan roh.

Maka, bahasa itu diungkap sehingga fungsinya sebagai nyawa dan roh bangsa. Nyawa dan roh inilah perlu dijaga supaya kemandirian sesebuah bangsa tetap teguh utuh dalam menangani segala bentuk gelagat, anasir dan cabaran yang datang masa kini.

Namun dewasa ini, bahasa tercemar dalam pelbagai ranah daripada masyarakat awam sehinggalah kelas atasan. Bahasa yang menjadi lambang kesantunan bangsa dan tinggi nilai estetika semakin tercalar bukan sekadar di ranah media sosial, malah di ranah formal yang seharusnya menjadi pentas dalam meluhuri Perlembagaan dan memegang semangat kesopanan serta kesusilaan.

Ia tidak seragam dengan darjat bahasa itu sendiri yang perlu dijaga dan dimartabatkan sebaiknya.

Keindahan berbahasa membuktikan fungsinya suatu ketika dahulu dalam mengungkap idea dan hasrat, menyampaikan ceritera, teguran dan nasihat. Kiasan, perumpamaan, bunga bahasa malahan pantun menjadi lantunan dalam interaksi harian termasuk dalam menangani sesuatu masalah.

Malah, amat tertib penggunaan bahasanya walau pada ketika seseorang itu dalam keadaan kecewa atau marah. Ketertiban penggunaan bahasa ini amat penting kerana bahasa amat berkait rapat manifestasi peri laku.

Sering kita dengar perkataan ‘tidak tahu bahasa’ yang merujuk kepada tingkah laku salah. Begitu juga perkataan ‘pandai dia berbahasa’ yang merujuk kepada tingkah laku sopan yang disukai orang.

Maka, bahasa dan perilaku berkait rapat dalam memberi gambaran peribadi seseorang individu. Begitu juga terdapat gabungan perkataan budi bahasa.

Budi itu bukan hanya merujuk perlakuan baik sopan, malah menjangkau lebih daripada itu, merujuk kepada akal dan kebijaksanaan. Maka, gabungan budi dan bahasa menunjukkan ketinggian bahasa bergabung jalin dengan kebijaksanaan akal.

Justeru, bahasa bukan hanya berfungsi sebagai alat bertutur dan menulis, malah mencerminkan keperibadian seseorang dan kecerdikan watan.

Fasa 64 tahun kemerdekaan ini, seharusnya isu, cabaran, penentangan dan penolakan perlu ditangani dengan bijaksana melalui keindahan bahasa Melayu itu sendiri yang sempurna, santun dan harmoni sebagaimana pantun lama berbunyi:

Yang kurik kundi, yang merah saga;

Yang baik budi, yang indah bahasa.

Tingkap papan kayu bersegi,

Sampan sakat di Pulau Angsa;

Indah tampan kerana budi,

Tinggi bangsa kerana bahasa.

Pensyarah Pusat Pengajian Teras, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top