fatin.farhana@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Filem pendek, Ejen Ali Misi : Juang terbitan Primeworks Studios (PWS) dan WAU Animation mengungguli kategori Program Televisyen (TV) Kanak-Kanak Animasi 3D Terbaik pada Anugerah Kandungan Asia 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) dan Primeworks Studios (PWS), Datuk Khairul Anwar Salleh, berkata kejayaan filem pendek Ejen Ali Misi : Juang dianggap penghormatan bagi pengkarya yang terbabit dalam pembikinannya.
“Ini kejayaan WAU Animation atas dedikasi mereka menghasilkan cerita menakjubkan dan menyentuh perasaan melalui media animasi dengan cara unik dan inovatif.
“Ejen Ali Misi : Juang menyoroti kemampuan teknikal Malaysia di pentas antarabangsa.
“Ini secara langsung memperlihatkan dedikasi petugas barisan hadapan dalam memerangi COVID-19 dan mempamerkan kepelbagaian budaya kita dalam cara menarik dan memberi kesan,” katanya dalam kenyataan.
Anugerah Kandungan Asia 2021 berlangsung di Singapura, kelmarin.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation dan pengarah Ejen Ali Misi : Juang, Usamah Zaid Yasin, menyifatkan kejayaan itu sebagai tekad dan kerja keras pasukan WAUriors.
“Penghargaan mendalam saya ucapkan kepada WAUriors yang bekerja tanpa kenal erti lelah untuk menghasilkan Ejen Ali Misi : Juang pada tempoh mencabar.
“Kami bekerja dari rumah sepanjang pandemik ini. Pasukan ini menunjukkan kreativiti dan semangat yang luar biasa ketika proses pembangunan dan menyumbang idea kreatif serta imaginatif yang tidak terkira.
“Kami sangat bangga dengan kemenangan ini dan melihatnya sebagai pencapaian matlamat kami untuk menyatakan rasa hormat dan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang tidak pernah lelah dalam melaksanakan tugas memerangi COVID-19,” katanya.
Dilancarkan secara rasmi menerusi saluran YouTube pada 25 Disember tahun lalu, filem pendek Ejen Ali Misi : Juang meraih lebih 16.7 juta tontonan hingga hari ini.
Filem pendek yang disokong kempen perkhidmatan awam itu dihasilkan bagi memberi penghormatan kepada petugas barisan hadapan dalam memerangi pandemik COVID-19.
Ejen Ali Misi : Juang menampilkan usaha Ejen MATA dan rakyat yang bergabung bersama petugas barisan hadapan di medan perang untuk melawan COVID-19 yang mengancam nyawa.
Mengetengahkan lagu tema Kita Jaga Kita dendangan Altimet, Cuurley dan Malik Abdullah, filem pendek ini menjadi lebih menarik dengan penampilan khas karakter Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang bergabung tenaga dengan Ejen MATA di medan pertempuran.
Mesej tersirat yang disampaikan melalui filem ini adalah mahu memberi inspirasi kepada orang ramai untuk bekerjasama memerangi pandemik atas dasar ‘apabila kita bersatu, kita boleh menang’.
Ejen Ali Misi: Juang, Ejen Ali The Movie dan Ejen Ali musim satu dan dua boleh distrim di Disney+ Hotstar Malaysia.
Anugerah Kandungan Asia adalah anjuran ContentAsia yang berpangkalan di Singapura. Organisasi berkenaan beroperasi sejak 2006 bagi memartabatkan industri kandungan rantau ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




