London: Kerajaan Britain mengarahkan semua sekolah rendah di bandar raya ini yang sepatutnya memulakan sesi baharu minggu depan, ditutup.
Langkah drastik itu diambil kerajaan bagi membendung peningkatan kes positif secara mendadak, berikutan penularan varian baharu COVID-19.
Sehubungan itu, berkuat kuasa esok, semua sekolah rendah yang membabitkan kehadiran kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun perlu beralih kepada kaedah pembelajaran secara dalam talian.
Kanak-kanak berisiko dan penjaga yang menjadi petugas utama di barisan hadapan bagaimanapun dibenarkan ke sekolah.
Pra-sekolah turut dibenarkan dibuka untuk operasi seperti biasa, menurut laporan agensi berita Gulf News.
Kerajaan sebelum ini mengeluarkan 10 kawasan di London daripada senarai arahan penutupan sekolah, namun pihak berkuasa tempatan mengemukakan aduan kepada Setiausaha Pendidikan, Gavin Williamson.
Datuk Bandar London, Sadiq Khan, kemudian menerima baik langkah kerajaan untuk menarik balik pengecualian itu, sekali gus menyaksikan sekolah di 10 kawasan berkenaan turut ditutup
London merekodkan kes jangkitan COVID-19 tertinggi perkapita, iaitu 807 kes daripada 100,000 penduduk, berbanding 675 pada minggu lalu.
Setiausaha Kesihatan, Matt Hancock, menerusi kenyataan berkata situasi semasa di London semakin meruncing.
“Justeru, kita mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi orang awam dan membendung penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya.
Sumber – AGENSI
Malay News
International Desk



