AADK akui lapor sendiri salah laku kakitangan kepada SPRM

AADK akui lapor sendiri salah laku kakitangan kepada SPRM

bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengesahkan tangkapan dua kakitangannya di Terengganu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam, dibuat hasil laporan dikemukakan agensi itu sendiri berhubung salah laku dan pelanggaran integriti.

Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata, laporan dibuat susulan wujud salah laku membabitkan kakitangan agensi berkenaan yang disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan membawa masuk barang terlarang untuk penghuni pusat pemulihan.

“Kita melahirkan penghargaan kepada SPRM atas tindakan susulan

yang diambil hasil daripada laporan AADK berhubung wujudkan salah laku

dan pelanggaran integriti oleh kakitangan terbabit.

“AADK menyerahkan proses siasatan kepada pihak SPRM dan komited untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Ruslin, pihaknya tidak akan berkompromi mahu pun melindungi mana-mana kakitangan yang terbabit salah laku dan pelanggaran integriti yang boleh menjejaskan reputasi agensi serta perkhidmatan awam.

“AADK memandang insiden itu sebagai perkara yang memerlukan perhatian serius dan kita bersedia memberi akses kepada segala maklumat yang diperlukan bagi memastikan siasatan diselesaikan secara telus, adil dan menyeluruh.

“Selari dengan prinsip tadbir urus yang baik, AADK pula akan mengambil tindakan dalaman sewajarnya berdasarkan Peraturan Pegawai Awam Kelakuan dan Tatatertib 1993 bergantung kepada perkembangan hasil siasatan rasmi,” katanya.

Selain itu, Ruslin menegaskan AADK akan membuat penilaian serta menambah baik keberkesanan Prosedur Operasi Standard (SOP) di fasiliti AADK bagi menutup sebarang ruang yang boleh dimanipulasi pada masa hadapan.

“AADK bertekad sepenuhnya untuk membanteras sebarang bentuk

salah laku dan rasuah dalam kalangan warga kerja secara

menyeluruh.

“Tindakan paling tegas dan agresif akan diambil terhadap mana-mana kakitangan yang terbukti bersalah dan boleh dibuang kerja sekiranya didapati bersalah,” katanya.

Media hari ini, melaporkan, seorang penjawat awam wanita sebuah pusat pemulihan dadah di Terengganu direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM6,000 sebagai balasan membawa masuk barang terlarang kepada penghuni pusat berkenaan.

Perintah reman sehingga 7 Mac itu dikeluarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu selepas membenarkan permohonan pihak SPRM.

Menurut sumber, wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan bersama seorang lagi rakan sekerja lelaki berusia 40-an kira-kira 12.30 tengah hari, semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.

Kedua-dua suspek disyaki melakukan perbuatan itu secara berasingan antara September 2024 hingga Januari 2025.

Sumber berkata, mereka dipercayai meminta dan menerima wang rasuah daripada keluarga penghuni pusat pemulihan sebagai balasan membawa masuk barang terlarang.

Bagaimanapun, suspek lelaki berkenaan dilepaskan dengan jaminan SPRM, hari ini atas faktor kesihatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top