anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Negeri Perlis mencatatkan penurunan ketara sebanyak tujuh peratus bilangan penagih iaitu seramai 1, 807 orang bagi tahun 2024 berbanding 1,942 penyalah guna dan penagih dadah tahun sebelum ini.
Berdasarkan data sehingga Mac tahun 2025, kadar penyalahgunaan dadah dan bahan berdasarkan 100,000 penduduk di Perlis adalah mencatat sebanyak 609 orang penagih berbanding 654 bagi tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata,, kategori dadah yang menjadi pilihan utama bagi penyalah guna dan penagih di Perlis adalah dadah jenis Amphetamine Type Stimulants (ATS) dengan majoriti 78.2 peratus atau 1,413 orang bagi tempoh sehingga Mac 2025.’
“Jenis dadah kedua tertinggi pula ialah jenis Opiat iaitu sebanyak 21 peratus daripada jumlah keseluruhan penyalahgunaan dadah dan bahandi Perlis,” katanya ketika mengadakan program sebar mesej benci dan antidadah di kalangan rakyat melalui aktiviti kayuhan basikal disertai Pemangku Raja Perlis, DYTM Tuanku Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Kangar , Perlis, baru-baru ini.
Pendekatan menarik diadakan sempena Sambutan Hari Antidadah Peringkat Negeri Perlis 2025.
Program berkenaan membabitkan kayuhan berinformasi dalam usaha menyebar luas mesej antidadah di sekitar Kuala Perlis.
Program kayuhan itu bermula dan berakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ali Ahmad, Mukim Seriab membabitkan jarak sejauh 12 kilometer.
Ruslin Jusoh berkata, objektif program itu adalah untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya dadah dengan cara menyampaikan mesej ‘Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama’ secara inklusif kepada masyarakat pelbagai lapisan melalui pendekatan santai, sihat dan terbuka.
“Selain itu, aktiviti ini juga mampu memperkukuh peranan komuniti dalam pencegahan dadah dengan menggalakkan pembabitan komuniti termasuk belia dan keluarga dalam usaha mewujudkan persekitaran bebas dadah.
“Menerusi aktiviti itu juga, kempen mempromosi gaya hidup sihat tanpa dadah dapat diterapkan dengan menggabungkan pelbagai aktiviti fizikal seperti berbasikal, berjalan kaki dan senamrobik dengan mesej kehidupan sihat tanpa pengaruh dadah atau bahan terlarang” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Ruslin menambah, pendekatan santai itu turut berupaya meningkatkan jalinan kerjasama strategik antara AADK dan pihak kerajaan negeri khususnya Kerajaan Negeri Perlis dalam mengukuhkan sinergi melaksanakan program advokasi dan pencegahan dadah atau bahan berorientasikan komuniti.
“Justeru AADK akan mempergiatkan program pencegahan di seluruh negara termasuk di Perlis sebagai usaha memastikan kadar penagihan dan penyalahgunaan dadah atau bahan dapat diturunkan dari semasa ke semasa.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan menerusi Kementarian Dalam Negeri dengankerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat dan komuniti perlu digembleng demi keselamatan dan kesejahteraan sejagat,” jelasnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




