Pengguna dadah zombie atau fentanil yang selama ini mungkin beranggapan mereka ‘kebal’ dan sukar dikesan pihak berkuasa, bakal bertemu buku dengan ruas apabila Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mula menggunakan kit ujian khas bermula Jun ini.
Langkah itu sekali gus menepis dakwaan kononnya AADK tidak mempunyai keupayaan untuk mengesan penyalahgunaan fentanil atau dadah sintetik baharu yang kini semakin membimbangkan.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh, dalam laporan Berita Harian berkata, kit ujian itu akan diedarkan ke semua pejabat agensi berkenaan di seluruh negara.
“Mulai Jun, kita akan buat operasi dan kita akan ‘test’ (uji) menggunakan alat tersebut,” katanya kepada pemberita pada Program Penghayatan Nilai-nilai Murni Sempena Aidiladha dan Ibadah Korban AADK 2026 di INSCORE PUSPEN Sepang, hari ini.
Menurutnya, AADK akan mengumpul data hasil penggunaan kit ujian itu pada peringkat awal bagi melihat sejauh mana ia mampu mengesan jenis dadah yang digunakan penagih sebelum tindakan perundangan diambil.
Ruslin turut mengakui cabaran penguatkuasaan ketika ini semakin kompleks susulan kemunculan pelbagai jenis dadah baharu termasuk yang disalah guna menerusi vape.
“Kalau dulu kita berjuang dalam konteks dadah-dadah tradisional seperti ganja dan heroin, namun sekarang cabaran kita berhadapan dadah seperti fentanil.
“Kita juga ada istilah di luar seperti ‘magic mushroom’, ganja sintetik dan juga kokain sendiri.
“Tetapi apa yang jelas kebanyakan dadah seperti fentanil, ganja sintetik mahupun kokain ini sebahagiannya digunakan sebagai cecair vape, dibuat cecair untuk dihisap melalui alat vape.
“Kita juga berdepan cabaran pengambilan dadah secara ‘polydrug’ (menggunakan dua atau lebih jenis dadah atau bahan terlarang berbeza dalam satu tempoh masa sama atau berturut-turut) dengan kesan lebih teruk,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan masyarakat perlu memahami penggunaan istilah ‘magic mushroom’ di negara ini kerana ia bukan menggunakan bahan organik daripada kulat mengandungi silocibid.
Sebaliknya, hasil ujian AADK mendapati bahan yang didakwa sebagai ‘magic mushroom’ di Malaysia sebenarnya adalah ganja tiruan dalam bentuk cecair.




