AADK, MAG perkemas kerjasama strategik

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Malaysia Aviation Group (MAG) berhasrat memperkemas kerjasama strategik menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) baharu bagi memperhebat usaha membasmi penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang dalam kalangan warga kerja syarikat penerbangan itu.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, hasrat itu disuarakan dalam satu pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar menerusi kunjungan hormat di Malaysia Airlines Berhad Academy, di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeteraian MoU baharu itu kelak bakal memperkukuh komitmen berterusan kedua-dua pihak, terutama dalam meningkatkan tindakan pencegahan, pembanterasan serta pendedahan kesedaran awam berkaitan ancaman dadah secara lebih menyeluruh.

“Hari ini saya melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Pegawai Eksekutif MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar untuk membincangkan kerjasama antara AADK dengan pihak MAG dalam memperkukuhkan program pencegahan penyalahgunaan dadah dalam kalangan warga kerja MAG.

“Kita berharap dengan kerjasama ini, kita dapat memperkasa bukan sahaja di peringkat AADK, pada masa sama memperkasa peranan MAG khususnya Malaysia Airlines dalam program membabitkan pencegahan dadah di Malaysia,” katanya selepas majlis kunjungan hormat itu.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainudin Abdullah.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, tumpuan utama perbincangan turut merangkumi pelaksanaan program pencegahan khusus seperti Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) di premis dan fasiliti milik MAG.

Menurutnya, langkah proaktif itu penting bagi memastikan aspek integriti dan keselamatan operasi perkhidmatan penerbangan negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.

“Inisiatif proaktif ini adalah satu langkah keselamatan kritikal yang perlu diambil dengan kadar segera demi menjamin integriti serta tahap keselamatan operasi penerbangan.

“Kerjasama ini dijangka mampu mewujudkan persekitaran kerja lebih selamat, sihat dan bebas daripada ancaman dadah demi kesejahteraan perkhidmatan penerbangan negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top