AADK tak akan lindungan kakitangan terbabit salah laku, langgar integriti

AADK tak akan lindungan kakitangan terbabit salah laku, langgar integriti

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan mengambil tindakan tegas terhadap kakitangan yang terbabit dalam salah laku atau pelanggaran integriti.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya amat mengalu-alukan laporan siasatan ini dan menegaskan bahawa agensi tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana kakitangan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang didapati bersalah, selaras dengan peruntukan undang-undang dan tatakelakuan perkhidmatan yang berkuat kuasa.

“Sehubungan itu, AADK sentiasa mengingatkan kepada semua kakitangan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan berdasarkan Perintah Tetap Ketua Pengarah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, AADK komited untuk terus menjalin kerjasama erat dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam usaha memperkukuh tadbir urus yang baik di peringkat agensi, khususnya membabitkan aspek siasatan terhadap sebarang aduan salah laku dan isu integriti dalam kalangan warga AADK.

Semalam, EAIC mencadangkan tindakan jenayah dan tatatertib dikenakan terhadap pegawai AADK susulan insiden kekerasan terhadap seorang klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Pahang.

Dalam satu kenyataan, EAIC memaklumkan siasatan dijalankan selepas menerima aduan berhubung kejadian pukul dan kecederaan dialami klien terbabit semasa menjalani pemulihan pada 2024.

Menurut suruhanjaya itu lagi, terdapat kemungkinan unsur penyembunyian oleh pihak PUSPEN memandangkan pemakluman mengenai kecederaan hanya dibuat kepada Ibu Pejabat AADK dalam tempoh yang tidak munasabah.

EAIC turut mengesyorkan agar kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di kawasan dalam PUSPEN bagi menjamin keselamatan klien yang sedang menjalani rawatan pemulihan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top