Aaron Aziz belum sedia bersara, tapi lebih selektif terima tawaran

Aaron Aziz belum sedia bersara, tapi lebih selektif terima tawaran

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Selepas lebih dua dekad mengukuhkan nama, pelakon Datuk Aaron Aziz, 49, memaklumkan belum bersedia bersara daripada dunia seni, namun bersikap lebih selektif dalam memilih watak.

Menurut Aaron atau pemilik nama Aaron Mustapha Aziz, dunia lakonan sudah sebati dengan dirinya dan belum bersedia bersara selagi diberi peluang dan kepercayaan oleh syarikat produksi.

Katanya, dunia seni juga menjadi sumber rezeki hingga membolehkan dia membesarkan anak-anak serta memberi pendidikan terbaik buat mereka di luar negara.

“Dunia lakonan ini dah jadi macam darah daging saya. Sebab dengan berada dalam dunia (lakonan) inilah saya dapat membesarkan anak dan dapat hantar mereka belajar ke luar negara.

“Alhamdulillah, kami sekeluarga dapat jalani hidup yang sederhana dan selesa. Buat masa ini, saya tak merancang untuk bersara,” katanya.

Aaron berkata, selepas lebih 20 tahun berada dalam industri seni, dia tidak mahu berterusan membawa watak yang sama dan berharap dapat tampil dengan sisi berbeza apabila diberi tawaran berlakon.

“Kalau dapat watak yang pernah saya lakonkan, saya nak pastikan ia diberi kelainan. Saya tak mahu setiap kali jadi polis, orang nampak gaya ‘Gerak Khas’ saja. Saya mahukan kelainan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aaron mendedahkan dia bakal muncul dengan sebuah projek filem baharu yang diterbitkan sendiri dan membawa watak yang belum pernah dilakonkan sepanjang kerjayanya.

Lebih menarik, filem berdasarkan kisah benar itu sudah lama diimpikannya dan tidak boleh ditiru sesiapa.

“Ada satu cerita yang insya-Allah saya akan terbitkan sendiri dan watak itu saya belum pernah lakonkan dan tidak boleh ditiru sesiapa pun.

“Nantikan filem itu. Cerita ini berdasarkan kisah benar yang sangat menarik dan ramai orang tak tahu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top