am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon popular, Datuk Aaron Aziz memahami situasi dilalui rakan artis, Datuk Yusry Abdul Halim apabila tidak dapat menunaikan ibadah haji bersama isteri, Datin Lisa Surihani selepas rayuan visa tidak diluluskan.
Aaron atau nama sebenar Aaron Mustapha Aziz, 50, berkata dia sendiri pernah berdepan detik cemas apabila urusan visa hajinya berada dalam keadaan tidak menentu sehingga ke saat akhir.
Menurutnya, ketika itu, visa isterinya diluluskan lebih awal, manakala permohonannya hampir tidak lulus ketika hendak berangkat ke tanah suci.
“Waktu itu memang saya sudah reda. Saya cakap pada isteri, kalau tak ada rezeki, pergilah dulu tanpa saya. Kita hanya mampu usaha, selebihnya serah pada Allah,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Karva Travel & Tours di Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Menurutnya, meskipun pada awalnya berdepan kemungkinan tidak dapat menunaikan ibadah haji, dia akhirnya menerima khabar gembira apabila permohonan visanya diluluskan pada saat akhir sekali gus menyifatkannya sebagai kurniaan Allah SWT.
Mengulas situasi Yusry, Aaron berkata, dia dapat merasai perasaan seorang suami yang pastinya mahu berkongsi detik beribadah bersama pasangan hidup, lebih-lebih lagi untuk ibadah sebesar haji.
Tambah pelakon filem KL Gangster itu, dia turut meluahkan rasa simpati terhadap Yusry, namun yakin ada hikmah daripada Allah SWT.
“Sebagai suami, memang kita nak pergi bersama isteri, tapi mungkin Allah susun sesuatu yang lebih baik, atau mungkin anak-anak lebih memerlukan antara salah seorang,” katanya.
Katanya, dia mendoakan Yusry terus kuat menerima ketentuan dan berharap urusan semua jemaah haji dipermudahkan sepanjang berada di tanah suci.
“Semoga semua jemaah dipermudahkan perjalanan pergi dan balik,” katanya.
Terdahulu, Lisa Surihani dilaporkan reda apabila rayuan visa haji suaminya tidak berjaya, walaupun pasangan itu pada awalnya merancang untuk menunaikan ibadah haji bersama tahun ini.
Untuk rekod, Aaron bersama isteri Diyana Halik menunaikan ibadah haji pada 2023 selepas lima kali mengerjakan umrah bersama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




